Sabtu, 18 April 2020 | 10:25am
Sebahagian daripada urus niaga dijalankan oleh warga asing di tapak parkir dan kawasan sisih sayuran di luar Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam.
Sebahagian daripada urus niaga dijalankan oleh warga asing di tapak parkir dan kawasan sisih sayuran di luar Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam.

PKP: Peniaga tempatan ditegah, warga asing dibiarkan

KUALA LUMPUR: “Umpama kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiarkan kelaparan”

Perumpamaan itu mungkin sesuai bagi menggambarkan situasi di luar Pasar Borong Kuala Lumpur dekat Selayang di sini.

Ini kerana tempat tumpuan peniaga pasar malam tempatan menyisih sayur di situ, kini dikuasai warga asing yang sukar dipastikan status mereka, sama ada mempunyai dokumen atau pendatang tanpa izin.

Pekebun dan pekerja warga asing itu dipercayai mengambil kesempatan menguasai tempat itu kerana sepanjang tempoh PKP bermula sejak 18 Mac lalu, peniaga pasar malam dan pasar pagi tidak dibenarkan beroperasi.

Tinjauan mendapati, mereka bebas berniaga di tapak itu serta parkir berdekatan secara terbuka setiap hari sehingga mengabaikan syarat-syarat penguatkuasaan PKP.

Tinjauan mendapati, kebanyakan warga asing yang berurus niaga di situ terdiri daripada pendatang Myanmar dan Bangladesh.

Kawasan itu menarik kehadiran di antara enam hingga 10 lori, menghantar bekalan sayur-sayuran setiap hari ke situ yang kebanyakan diangkut daripada kebun milik warga asing sekitar Lembah Klang.

Setiap lori terbabit kemudian diuruskan empat hingga lima warga asing yang mengendalikan urus niaga dengan pembeli yang datang ke situ.

Difahamkan, lori berkenaan mengambil sayur-sayuran kebun warga asing sekitar Banting, Klang, Bukit Sentosa, Batu Arang dan Rawang.

Ia membabitkan sayuran berdaun dan buah seperti sawi, bayam, kangkung, timun, bendi, terung, labu air, kacang panjang.

Pelanggan mereka pula terdiri daripada warga asing yang mengendali kedai runcit sekitar ibu kota, Selayang dan Rawang.

Seorang peniaga tempatan yang sering berurusan di Pasar Borong Kuala Lumpur, berkata semua gerai yang sah dalam pasar berkenaan diarah tutup oleh pihak berkuasa.

“Bagaimanapun mereka membiarkan tempat parkir dan pusat sisih sayur dikuasai oleh warga asing untuk berniaga setiap hari. Ini

Kesibukan di tapak parkir Pasar Borong Kuala Lumpur yang jadi tumpuan warga asing berniaga setiap hari kecuali Ahad.
Kesibukan di tapak parkir Pasar Borong Kuala Lumpur yang jadi tumpuan warga asing berniaga setiap hari kecuali Ahad.

“Kami dimaklumkan penutupan dibuat sehingga habis saringan pandemik COVID-19 kerana di sini ada kes jangkitan yang dikesan sebelum ini,” katanya.

Peniaga yang enggan namanya disiarkan itu, mendakwa ada pihak yang mendalangi kehadiran warga asing di situ bagi mendapatkan dokumen tertentu yang memudahkan mereka bergerak sepanjang PKP.

“Kami berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berlaku adil, jika semua peniaga tidak dibenarkan beroperasi, maka sepatutnya ia membabitkan semua peniaga.

“Jika peniaga pasar malam tidak beroperasi di kawasan terbabit kerana PKP, pihak lain juga tidak boleh dibiarkan mengambil kesempatan di situ. Kami bimbang mereka turut menggunakan dokumen dan surat palsu untuk pergerakan ketika PKP ini.

“Ketika ini, peniaga tempatan boleh mematuhi undang-undang ketika PKP tetapi warga asing di sini seolah-olah kebal kebal daripada tindakan undang-undang negara kita, sedangkan jangkitan penyakit COVID-19 ini boleh menjangkiti sesiapa saja,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, Malaysia kini perlu memberi perhatian serius terhadap jangkitan COVID-19 dalam kalangan warga asing yang setakat ini sudah merekodkan 601 kes positif.

Beliau berkata, usaha itu perlu selepas melihat peningkatan kes COVID-19 di Singapura yang dikaitkan penularan di penempatan pekerja asing.

“Dilaporkan bahawa penularan kes COVID-19 di asrama pekerja itu menyumbang lebih 50 peratus daripada keseluruhan kes positif COVID-19 di Singapura.

“Mengambil iktibar situasi ini dan memandangkan Malaysia juga mempunyai ramai pendatang asing, langkah perlu diambil mencegah penularan COVID-19, terutama dalam kalangan warga berkenaan,” katanya.

Selain menerima kemasukan pelancong luar, pelbagai sektor di negara ini turut banyak bergantung kepada tenaga buruh asing, selain turut berdepan masalah dengan pendatang tanpa izin, pelarian dan pemohon suaka.

Kesibukan di tapak parkir Pasar Borong Kuala Lumpur yang jadi tumpuan warga asing berniaga setiap hari kecuali Ahad.
Kesibukan di tapak parkir Pasar Borong Kuala Lumpur yang jadi tumpuan warga asing berniaga setiap hari kecuali Ahad.

Berita Harian X