Khamis, 16 April 2020 | 7:30pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

COVID-19: Terowong sanitasi dikhuatiri undang kesan negatif

KUALA LUMPUR: Penggunaan terowong nyah cemar untuk membasmi COVID-19 tidak digalakkan kerana dikhuatiri mengundang kesan negatif, termasuk risiko kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengulangi pendirian bahawa setiap penggunaan peralatan berkaitan termasuk terowong yang merembeskan cecair untuk membunuh virus perlu berpandukan bukti sains dan fakta sahih.

Bagaimanapun, katanya, rujukan terhadap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai penggunaan terowong sedemikian mendapati tiada bukti mengesahkan ia mampu membasmi virus.

“Macam mana nak basmi virus itu kerana ia dalam tubuh badan manusia seperti dalam rongga hidung, justeru terowong sanitasi tidak berkesan untuk tujuan berkenaan.

“Kita juga bimbang bahan kimia yang digunakan boleh masuk ke dalam mata, selain menyebabkan radang kulit kepada individu yang melalui terowong terbabit.

“Individu yang mempunyai penyakit lelah dan sebagainya pula boleh sebabkan (mengundang) kematian,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Menerusi perbandingan dengan kaedah mencuci tangan, Dr Noor Hisham berkata, tiada kajian setakat ini yang menggariskan tempoh terbaik untuk seseorang berada dalam terowong sanitasi bagi tujuan membunuh virus.

Bersandarkan dapatan kajian, katanya, seseorang perlu mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman dalam tempoh kira-kira 20 saat.

“Oleh itu, tiada bukti kukuh untuk kita iktiraf terowong sanitiasi boleh digunakan (membunuh virus) dalam kalangan orang ramai,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X