Khamis, 16 April 2020 | 6:22pm

COVID-19: Dua kelompok usia warga emas berisiko tinggi

KUALA LUMPUR: Dua kelompok umur warga emas dikesan berdepan risiko kematian tertinggi sekiranya dijangkiti wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua kelompok umur yang berdepan risiko tinggi itu ialah warga emas berusia antara 55 hingga 59 tahun dan 60 hingga 64 tahun.

Katanya, ia hasil daripada penelitian kementerian dengan memadankan populasi bagi setiap kumpulan umur dan kadar insiden COVID-19 bagi 100,000 individu di Malaysia.

“Warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19 kerana faktor umur dan juga penyakit kronik.

“Ini adalah isu global yang dihadapi oleh negara-negara yang terjejas dengan wabak ini. Statistik menunjukkan terdapat dua kumpulan umur masyarakat yang paling tinggi kes positif COVID-19 berbanding kumpulan umur yang lain.

“Ia merangkumi 20 tahun sehingga 24 tahun dan juga 56 tahun sehingga 59 tahun. Ini dapat dilihat pada carta bilangan kes positif COVID-19 mengikut umur.

“Bagaimanapun, apabila statistik bilangan kes COVID-19 dipadankan dengan populasi bagi setiap kumpulan umur, jelas dapat dilihat bahawa kadar insiden COVID-19 bagi 100,000 populasi di Malaysia adalah paling tinggi bagi kumpulan umur 55 sehingga 59 tahun dan 60 sehingga 64 tahun,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Berdasarkan statistik kes kematian COVID-19 yang direkodkan saban hari, Dr Noor Hisham berkata 62.6 peratus daripadanya adalah mewakili individu berumur 60 tahun ke atas.

Katanya, sebanyak 80.7 peratus kes kematian didapati mempunyai rekod penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, jantung dan lain-lain.

“Didapati kadar boleh pulih dan prognosis bagi sembuh jangkitan COVID-19 adalah lebih baik sekiranya rawatan dimulakan awal, justeru amat penting bagi kumpulan warga emas mendapatkan rawatan segera.

“Ia perlu walaupun mereka hanya mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak.

“Oleh itu, ahli keluarga bertanggungjawab untuk memastikan beberapa perkara mengenai golongan warga emas.

“Mereka perlu mendapat rawatan segera jika tidak sihat, bekalan ubatan mencukupi dan patuhi temu janji rawatan, selain mempunyai barang keperluan mencukupi.

“Amalan kebersihan diri yang tinggi juga harus dikekalkan, misalnya kerap cuci tangan dengan air dan sabun dan mengamalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter,” katanya.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, Dr Noor Hisham menggalakkan warga emas menggunakan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos (UMP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menerusi pendekatan itu, katanya, bekalan ubat bagi penyakit berkaitan boleh dihantar terus ke rumah warga emas berkenaan, tanpa memerlukan mereka mengunjungi hospital berdekatan.

“Kita juga prihatin terhadap kesihatan warga emas yang tinggal di institusi-institusi jagaan bagi warga emas, terutama bagi institusi yang mempunyai ramai penghuni serta mengalami kesukaran mengamalkan jarak sosial yang selamat.

“Susulan itu, kementerian bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan membangunkan garis panduan ‘Recommendations for the COVID-19 Pandemic for Private, Public and NGO Residential Aged Care Facilities’ (Syor untuk Pusat Jagaan Rumah Orang Tua, Awam dan Swasta mengenai pandemik COVID-19).

“Pengurusan kesihatan berhubung pencegahan COVID-19 di Rumah Sri Kenangan dan Rumah Ehsan turut dipantau bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X