Khamis, 16 April 2020 | 5:48pm

COVID-19: GIATMARA Perak hasilkan 1,783 set PPE

GOPENG: GIATMARA Perak menghasilkan 1,783 set peralatan perlindungan diri (PPE) untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan kesihatan di negeri ini.

Pengarah GIATMARA Perak, Dr Ismadi Ishak, berkata inisiatif itu membabitkan usaha 19 petugas GIATMARA di Parit Buntar, Bukit Gantang, Bagan Serai, Gerik serta Gopeng, bersama 47 usahawan lepasan institusi itu dalam bidang jahitan dan pakaian.

“PPE dihasilkan itu dihantar ke hospital terpilih di negeri ini, iaitu Hospital Teluk Intan, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Sungai Siput dan Hospital Gerik, selain kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Medical Mythbusters Malaysia.

“Melalui kursus ditawarkan GIATMARA, kita mahu menyumbangkan tenaga dan kemahiran kepada pihak Kementerian Kesihatan.

“Walaupun sumbangan ini kecil, kami tetap mahu menyumbang kepada barisan hadapan negara,” katanya kepada pemberita di GIATMARA Gopeng, di sini, hari ini.

Ismadi berkata, projek jahitan bermula 23 Mac lalu itu menggunakan semua bahan disediakan oleh pihak hospital dan NGO, manakala GIATMARA menyediakan kepakaran dalam bidang jahitan.

“Kita menggunakan dua konsep, iaitu memotong dan menjahit PPE di GIATMARA, serta memotong bahan di GIATMARA terpilih sebelum menghantarnya kepada usahawan lepasan GIATMARA dalam bidang jahitan pakaian di rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka menjahit PPE mengikut keperluan pihak KKM.

Seorang usahawan lepasan GIATMARA terbabit, Rabuna Zaini, 46, berkata meskipun ada 200 pasang baju raya tempahan pelanggan yang belum disiapkan, beliau tetap membahagikan masa bagi membantu menjahit PPE untuk petugas barisan hadapan.

“Kasihan melihat barisan hadapan. Justeru, kita mahu turun padang membantu walaupun sedikit,” katanya.

Rabuna berkata, buat masa ini, beliau berhenti dahulu mengambil tempahan baharu dan memfokus menjahit PPE.

“Saya mula menjahit PPE dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang. Ada juga menjahit empat pasang baju raya sehari. Ada pelanggan mahu tempahan awal tetapi Hari Raya lambat lagi, justeru boleh bahagikan sedikit masa untuk menjahit PPE ini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ismadi (kanan) menunjukkan PPE yang telah siap dijahit untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan kesihatan di Perak. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
    Ismadi (kanan) menunjukkan PPE yang telah siap dijahit untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan kesihatan di Perak. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
    Berita Harian X