X
Rabu, 15 April 2020 | 3:03pm
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto BERNAMA
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto BERNAMA

Permohonan LHDN dapatkan penghakiman terus terhadap Ku Nan didengar 12 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 12 Jun ini untuk mendengar permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan penghakiman terus terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ia berhubung saman terhadap Tengku Adnan yang gagal membayar tuntutan cukai berjumlah RM57.17 juta.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi.

Berdasarkan maklumat tertera dalam laman web mahkamah, pendengaran kes sepatutnya hari ini di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar tetapi ditangguh kepada 12 Jun ekoran lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahkamah turut menetapkan tarikh yang sama untuk mendengar permohonan Tengku Adnan bagi menggantung prosiding kes saman LHDN itu terhadapnya.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, memfailkan permohonan bagi menggantung prosiding kes itu sementara rayuannya terhadap penilaian semula taksiran cukai kepada LHDN selesai.

Pada 4 November tahun lalu, Tengku Adnan yang juga bekas Bendahari UMNO, menarik balik permohonan untuk membatalkan penghakiman terus yang dimohon LHDN.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman itu pada 24 Julai tahun lalu, selepas mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

LHDN dalam tuntutannya, mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35. - BERNAMA

Berita Harian X