Selasa, 14 April 2020 | 6:00pm

COVID-19: Doktor 'bertudung' raih dana bantu petugas kesihatan

KUALA LUMPUR: Usaha seorang doktor yang memuat naik lakaran dirinya bertudung bagi membantu petugas kesihatan memiliki perlindungan khas ketika melakukan saringan COVID-19, menarik perhatian masyarakat untuk menyumbang.

Sejak bulan lalu, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak membuat lakaran dirinya memakai tudung bagi menarik perhatian ramai pihak di Facebook (FB), mengenai kepentingan petugas kesihatan memiliki tudung yang praktikal ketika proses saringan dilakukan.

Hantaran di FB itu bukan sahaja menarik perhatian, malah berjaya mengedarkan lebih 8,000 tudung kepada petugas kesihatan hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk usahawan tudung.

Dr Muhammad Izzat yang juga Pengurus Projek Tudung Tabung COVID-19 MedTweetMY, menjelaskan beliau perlu melakukan sesuatu untuk membantu rakan yang bersusah payah merawat pesakit di hospital, sekali gus berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Katanya, tudung diperlukan petugas hospital bukan untuk digayakan tetapi praktikal dan mampu melindungi diri daripada jangkitan COVID-19.

“Setiap petugas kesihatan mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti dan pemakaian mereka adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian ketika merawat pesakit.

“Apabila saya memuat naik lakaran saya sendiri bertudung, sekali gus ia menarik perhatian ramai pihak untuk bersama-sama membantu barisan hadapan negara ketika ini.

“Ketika ini, kami sudah edarkan lebih 8,000 tudung untuk memudahkan perkhidmatan petugas kesihatan di seluruh negara,” katanya kepada BH.

Dr Muhammad Izzat berkata tudung yang dihasilkan tidak bercorak serta mudah dipakai bersama pakaian perlindungan peribadi (PPE).

“Disebabkan pakaian petugas mesti melalui proses dekontaminasi dan PPE juga dipakai berlapik, maka pemilihan tudung yang sesuai adalah perkara yang sangat penting. Kerana kekurangan stok, ramai petugas hanya menggunakan lapik plastik dan kertas sahaja,” katanya.

Pasukan Projek Tudung MedTweetMy menyerahkan sebahagian tudung untuk digunakan petugas kesihatan di Pusat Kusta Negara yang turut bertanggungjawab menguruskan jangkitan COVID-19.
Pasukan Projek Tudung MedTweetMy menyerahkan sebahagian tudung untuk digunakan petugas kesihatan di Pusat Kusta Negara yang turut bertanggungjawab menguruskan jangkitan COVID-19.

Ditanya mengenai, pandangan dan kecaman negatif yang diterima dalam proses menjayakan tudung ini, Bendahari Pertubuhan MedTweetMY ini menyatakan, ia lumrah dalam menjalankan kerja-kerja amal namun tidak akan menganggap ia halangan untuk terus berbakti.

“Ada pihak yang tidak faham dengan keperluan tudung ini kerana ia bukan sahaja penting bagi masyarakat Islam malah perlu dititik beratkan dalam pemakaian. Malah ia juga boleh dimanfaatkan petugas bukan Islam.

“Apa yang kami lakukan bukan semata-mata mahu menyediakan keperluan pemakaian tetapi sebab utama adalah kemampuan dalam memberikan rawatan iaitu membabitkan seluruh rakyat tidak mengira agama, bangsa atau kedudukan,” katanya.

Beliau berkata, bagi yang mahu menyumbang atau mengetahui perkembangan projek itu, boleh berhubung dengannya di ww.facebook.com/drmuhammadizzat atau melayari laman rasmi FB Medtweetmy.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X