Selasa, 14 April 2020 | 5:49pm

COVID-19: Lima lagi kematian

PUTRAJAYA: Lima lagi kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) akibat COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah yang direkodkan hari ini sekali gus menjadikan angka keseluruhan sebanyak 82 kes.

“Kes kematian ke-78 (kes ke-4,532), lelaki dewasa tanpa identiti diri dan dipercayai bukan warganegara yang ditemui mati di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 April 2020.

“Keputusan ujian sampel COVID-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 11 April 2020. Kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia.

“Kes kematian ke-79 (kes ke-2,052), lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 jam 5.17 pagi.

“Kes kematian ke-80 (kes ke-4818), lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 7 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 11.36 malam.

“Kes kematian ke-81 (kes ke-4521), perempuan warganegara Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-4088 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau dirawat di Hospital Melaka pada 9 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 April 2020 jam 4.20 petang.

“Kes kematian ke-82 (kes ke-1649), lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-343 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 26 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 jam 11.50 pagi,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menjelaskan, sebanyak 202 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, melebihi jumlah kes baharu positif COVID-19 yang merekodkan 170 kes setakat jam 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata, angka pulih itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,478 kes bersamaan 49.7 peratus.

Katanya, peratusan pulih itu hampir separuh daripada keseluruhan dijangkiti COVID-19 iaitu 4,987 kes.

“Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa terdapat 202 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad sebanyak 2,478 kes bersamaan 49.7 peratus, iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes.

“Hari ini juga bilangan kes yang discaj adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

“Sehingga 12 tengah hari, terdapat lebih 170 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,987 kes,” katanya.

Setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 2,427 kes.

“Sehingga kini, seramai 60 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah, 33 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X