Selasa, 14 April 2020 | 4:35pm

YT, MAIDAM tidak tanggung kos bawa pulang pelajar dari luar negara

KUALA TERENGGANU: Yayasan Terengganu (YT) serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) tidak akan menanggung kos membawa pulang pelajar tajaan dari luar negara.

Sebaliknya, Pengarah YT, Ishamudin Hashim, berkata kos itu perlu ditanggung sendiri pelajar berkenaan jika pihak berkuasa negara terbabit membenarkan mereka pulang ke tanah air.

Beliau berkata, setakat ini seramai 1,262 penuntut tajaan YT sedang mengikuti pengajian di beberapa universiti di luar negara.

“Penuntut yang mendapat penajaan termasuk pinjaman YT di universiti di Mesir adalah seramai 500 orang, Indonesia (200), Jordan (170), Turki (122), United Kingdom (100), Sudan (70), Arab Saudi (50), Jerman 30 dan di Yaman membabitkan seramai 20 penuntut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ishamudin turut mengesahkan YT sudah meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM65,000 kepada penuntut di Mesir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin mengesahkan pihaknya tidak bercadang menampung kos penerbangan membawa balik penuntut yang sedang mengikuti pengajian di luar negara.

Jelasnya, penuntut perlu menanggung sendiri kos berkenaan.

“Penuntut yang bercadang untuk balik perlu mendapatkan kelulusan kerajaan tempat mereka belajar.

“Saya difahamkan, kerajaan tempat penuntut sedang belajar juga belum memberi kelonggaran bagi membolehkan mereka pulang ke negara masing-masing berikutan perintah kawalan pergerakan bagi mengelak penularan COVID-19,” katanya.

M Rozi berkata, pihaknya sudah menyalurkan bantuan kepada penuntut yang sedang mengikuti pengajian di Jordan dan Mesir berjumlah RM100,000 bulan lalu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X