Selasa, 14 April 2020 | 8:14am
Fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 1 April lepas berakhir hari ini. - Foto hiasan
Fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 1 April lepas berakhir hari ini. - Foto hiasan

PKP fasa kedua tamat hari ini

KUALA LUMPUR: Fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 1 April lepas berakhir hari ini, dan esok bakal menyaksikan arahan itu diteruskan dengan fasa ketiga sehingga 28 April.

Sepanjang PKP berkuatkuasa, sasaran utama masih kekal sama iaitu untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Memetik kata-kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu mengumumkan pelanjutan PKP untuk fasa ketiga pada Jumaat lepas, beliau mengajak rakyat agar terus bersama-sama, memerangi penularan COVID-19 kerana wabak itu masih belum berakhir sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata, sekiranya rakyat berjaya mengharungi dugaan ini, penularan wabak itu dapat dikawal dengan izin Allah SWT.

Beberapa sektor ekonomi terpilih turut akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan akan mengambil masa lima hari bagi memproses permohonan operasi syarikat sepanjang tempoh PKP.

Sekiranya permohonan itu berjaya, surat kelulusan akan dikeluarkan oleh COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 2.0 melalui pautan laman sesawang https://application.miti.gov.my

Walaupun PKP kini telah dilaksanakan hampir sebulan sejak ia dikuatkuasa pada 18 Mac lepas, dengan tahap pematuhan rakyat setakat ini adalah 97 peratus, namun setiap hari masih ada individu yang ditahan dan dikenakan kompaun kerana kesalahan berkaitan PKP.

Pada sidang media harian berkaitan perkembangan PKP, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak ketinggalan memaklumkan jumlah individu yang dikenakan tindakan kerana ingkar PKP, selain jumlah sekatan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan oleh Polis Diraja Malaysia bersama Angkatan Tentera Malaysia, terus meningkat.

Laporan media semalam, menyatakan sebanyak 1,471 individu ditahan, dengan 949 dikenakan kompaun, 503 individu direman dan 19 individu dijamin polis, manakala 51 individu dituduh di mahkamah.

Setakat ini, situasi COVID-19 di Malaysia menunjukkan, perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad semalam adalah 168 orang, melebihi jumlah kes positif baharu.

Jumlah kumulatif kes yang sudah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj dari wad adalah 2,276 kes atau 47.23 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X