Selasa, 14 April 2020 | 1:28am
Pelanggan memilih pembersih kuman yang dijual ketika tinjauan farmasi sekitar Bangsar. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pelanggan memilih pembersih kuman yang dijual ketika tinjauan farmasi sekitar Bangsar. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

COVID-19: Semak sesawang, aplikasi NPRA sebelum beli cecair basmi kuman

MELAKA: Pengguna disaran menyemak dengan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum membeli produk cecair pembasmi kuman, terutama secara dalam talian, bagi memastikan produk itu mampu melindungi mereka daripada jangkitan COVID-19.

Penolong Pengarah Kanan Cawangan Penguatkuasa Farmasi Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, Mohd Hafiz Abdul Seddek, berkata pengguna boleh membuat semakan itu menerusi sesawang NPRA di pautan www.npra.gov.my atau dengan memuat turun aplikasi NPRA di telefon pintar.

Beliau berkata, produk cecair pembasmi kuman dikategorikan kepada dua iaitu kategori kosmetik yang melalui proses notifikasi dan kategori ubat am yang perlu didaftarkan dengan KKM.

“Pengguna juga sebaiknya menyemak nombor notifikasi kosmetik yang bermula dengan NOT atau bagi yang dikategori sebagai ubat am berdaftar KKM bermula dengan nombor pendaftaran MAL.

“Cecair pembasmi kuman juga terbahagi kepada produk mengandungi alkohol atau bebas alkohol, namun disarankan pengguna memilih produk yang sekurang-kurangnya mengandungi kepekatan melebihi 60 peratus (alkohol),” katanya dalam Facebook Live oleh JKN Melaka di sini hari ini.

Mohd Hafiz berkata, bagi pembelian secara dalam talian, pengguna perlu mengambil langkah berhati-hati termasuk memastikan peniaga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan turut menasihatkan peniaga supaya tidak menggunakan taktik iklan yang melampaui takrifan kosmetik. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X