Isnin, 13 April 2020 | 6:40pm

COVID-19: Plasma akan diberi kepada pesakit kritikal

PUTRAJAYA: Plasma darah yang disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan digunakan untuk merawat pesakit kritikal COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata antibodi dalam plasma berkenaan akan diberikan kepada pesakit COVID-19 yang berada di tahap kelima dan terpaksa bergantung kepada bantuan pernafasan.

“Kita akan gunakan pada pesakit di wad unit rawatan rapi (ICU),” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Menyentuh status bekalan darah, Dr Noor Hisham mengakui kementerian berdepan kekangan untuk menambah simpanan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Selain itu, katanya, simpanan di Pusat Darah Negara (PDN) akan berkurangan menjelang Ramadan, sekali gus memerlukan pertambahan bekalan menerusi derma daripada orang ramai.

"Hospital dan klinik masih dibuka untuk orang ramai tampil menderma darah, malah mereka boleh berbuat demikian di PDN serta lokasi khas berdekatan.

"Contohnya, bilik khas untuk derma darah di Mid Valley sentiasa menyediakan ruang untuk mereka tampil menderma," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X