Ahad, 12 April 2020 | 6:44pm
Penuntut UPM, Muhammad Adib Farhan Abdullah
Penuntut UPM, Muhammad Adib Farhan Abdullah

PKP: 'Kami di kampus seakan jalani PKPD'

KUALA LUMPUR: Risiko kes import dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang pulang ke kampung halaman tidak sepatutnya timbul kerana mereka menjalani ‘perintah berkurung’.

Penuntut jurusan perubatan tahun keempat dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Adib Farhan Abdullah, berkata pergerakan mahasiswa di IPT adalah lebih terhad dan dikawal sepenuhnya, malah seakan sama seperti penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, perintah berkurung dilalui penuntut universiti sejak 18 Mac lalu selepas mereka menuruti arahan kerajaan untuk kekal di kolej kediaman masing-masing, ternyata berbeza dengan kelonggaran dinikmati orang luar ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Orang luar yang dikenakan PKP masih boleh ke kedai membeli barangan keperluan harian, manakala kami diberi makanan dan minuman serta barangan secara harian.

“Tiada langsung pergerakan keluar dari kolej kediaman masing-masing, malah orang luar tidak dibenarkan masuk, justeru tidak timbul mengenai kegusaran kami membawa virus pulang ke kampung.

“Sekiranya wujud penularan jangkitan di kampus, sudah pasti ia berlaku antara tempoh 18 Mac lalu iaitu ketika PKP diumumkan sehingga 1 April lalu.

“Bagaimanapun, setakat ini kita tidak dengar wujud laporan sedemikian, malah jika risau penularan jangkitan, saringan bagi mengesan gejala boleh dilakukan sebelum proses penghantaran pulang,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Berdasarkan perbualan harian, Muhammad Adib yang berasal dari Ipoh, Perak berkata penuntut IPT tempatan berdepan tekanan apabila melihat rakan dari luar negara dibawa pulang ke tanah air dan dibenarkan kembali ke pangkuan keluarga selepas menjalani kuarantin.

Bagaimanapun, katanya, penuntut IPT tempatan yang patuh kepada arahan kerajaan sepanjang PKP seolah-olah dianaktirikan apabila diminta kekal di kolej kediaman masing-masing.

“Bukan kita nak bangkitkan isu, tetapi kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa universiti tempatan harus diambil kira juga kerana mereka merindui keluarga masing-masing.

“Kita tidak tahu PKP ini akan berkuat kuasa sehingga bila, justeru adalah lebih baik sekiranya penuntut IPT tempatan dibenarkan pulang secara berperingkat bagi mengelak pergerakan secara beramai-ramai.

“Selain itu, penghantaran balik penuntut universiti tempatan ketika PKP adalah lebih baik kerana pergerakan berupaya dikawal sepenuhnya oleh pihak berkuasa, berbanding selepas perintah ini berakhir nanti yang bakal menyaksikan semuanya berlumba-lumba untuk pulang,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X