Ahad, 12 April 2020 | 6:16pm
PAKAR kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hayati Kadir.
PAKAR kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hayati Kadir.

PKP: Syor benarkan penuntut IPT pulang dengan SOP ketat

KUALA LUMPUR: Proses ‘balik kampung’ dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkandas di kampus masing-masing wajar dilaksana secara berperingkat mengikut empat zon utama.

Penghantaran pulang ke zon utara, tengah dan selatan di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak itu juga harus didahului dengan saringan di kampus bagi mengesan sebarang gejala wabak COVID-19.

Pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hayati Kadir, ketika mencadangkan perkara itu berkata, muatan penumpang dalam bas yang akan digunakan wajar menepati aspek penjarakan sosial.

Sehubungan itu, katanya, muatan penumpang harus dihadkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kemampuan sebenar untuk memastikan jarak jarak antara penuntut adalah satu meter.

“Sepanjang perjalanan, penumpang tidak dibenarkan turun sehingga sampai ke destinasi, manakala bas hanya boleh berhenti untuk tujuan mengisi minyak.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan pergerakan setiap penumpang adalah terhad, sekali gus mengurangkan risiko daripada terdedah dengan jangkitan luar.

“Sebarang pergerakan dalam bas juga harus dikawal dengan ketat, maksudnya semua penumpang berada di tempat duduk masing-masing sepanjang perjalanan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, difahamkan kira-kira 86,500 penuntut IPT awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti terkandas di kampus masing-masing.

Peka dengan kebajikan mereka, kerajaan membekalkan makanan harian kepada penuntut IPT, selain meminta mereka kekal berada di kolej kediaman masing-masing bagi mengelak risiko penularan jangkitan COVID-19.

Hayati berkata, jalan terbaik dalam merangka kaedah penghantaran pulang penuntut IPT tempatan adalah dengan mengguna pakai Prosedur Operasi Standard (SOP) sama seperti pergerakan mahasiswa dari luar negara.

“Bagaimanapun, kita kena akui dengan realiti bahawa penuntut di sini sentiasa dipantau oleh pengurusan universiti dan kerajaan sepanjang PKP, justeru tidak timbul mengenai kegusaran terhadap status kesihatan mereka.

“Melainkan ada kes terpencil seperti segelintir mahasiswa yang berkemungkinan meloloskan diri daripada kawalan pengurusan universiti dan mempunyai risiko terdedah kepada jangkitan dari orang luar.

“Jadi, persoalan sama ada penuntut kita perlu ditempatkan di lokasi lain bagi menjalani prosedur kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sebenarnya tidak relevan,” katanya.

Bagi penuntut yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak, Hayati berkata, pendekatan sama boleh digunakan, namun mereka tidak boleh bercampur dengan penumpang lain dalam penerbangan bagi mengelak risiko jangkitan daripada orang luar.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X