Ahad, 12 April 2020 | 1:27pm
Bekas pesakit COVID-19, Rosli Dahlan (kanan).
Bekas pesakit COVID-19, Rosli Dahlan (kanan).

COVID-19: Bekas pesakit derma plasma darah

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pesakit coronavirus (COVID-19) bertekad mahu menjadi penyelamat selepas sembuh daripada dijangkiti wabak berkenaan, Mac lalu dengan menjadi penderma plasma darah yang digunakan sebagai antibodi dalam rawatan jangkitan virus itu.

Rosli Dahlan, 58, yang juga seorang peguam, berkata dia sudah mendermakan 500 mililiter (ml) plasma darahnya Khamis lalu di Pusat Darah Negara, di sini.

Katanya, sebagai seorang individu yang kerap menderma darah sebelum ini, dia tidak mempunyai masalah apabila diberitahu oleh doktor bahawa proses pengambilan plasma darah amat cepat dan dapat dilakukan dalam tempoh hanya 18 minit sahaja.

Rosli bersetuju menderma plasma darah selepas diberitahu oleh dua doktor yang merawatnya di Hospital Sungai Buloh (HSB).

“Sejak dari awal lagi saya memang mahu menjadi penderma plasma apabila diberitahu mengenai projek penyelidikan cubaan ini ketika dirawat di HSB selepas disahkan positif COVID-19 pada 2 Mac lalu.

“Saya berasa bersalah dan berasa simpati kepada mereka yang dijangkiti oleh saya tanpa sedar justeru mahu menjadi penyelamat daripada yang terselamat (akibat COVID-19), ” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Rosli dan isterinya menerima rawatan di wad isolasi di HSB selama 13 hari selepas kedua mereka mengalami simptom COVID-19 iaitu demam pada 29 Februari dan dibenarkan pulang pada 15 Mac.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut melahirkan rasa bangga terhadap Rosli kerana mengambil peranan membantu mangsa COVID-19 selepas sembuh daripada wabak itu melalui UDA yang tampil membaiki dan menaiktaraf berapa wad

untuk COVID-19 di hospital seluruh negara.

Rosli yang juga pemegang Amanah Yayasan NAMA menemui Perdana Menteri pada 6 April lalu bagi mewakili yayasan itu untuk menyumbangkan dana berjumlah RM150,000 dalam membantu pesakit COVID-19.

Pada masa sama Rosli berkata, pihaknya akan terus membantu pesakit COVID-19 malah berasa teruja untuk menderma plasma kali kedua yang dijadualkan pada 23 April ini.

Beliau juga menggalakkan mana-mana bekas pesakit COVID-19 yang berada dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjadi penyelamat dengan tampil menderma plasma darah mereka.

“Saya akan menderma plasma ini seberapa kerap yang mungkin jika ia diperlukan untuk membantu pesakit lain. Menurut doktor, plasma saya mempunyai antibodi yang sesuai dan baik digunakan untuk membantu pesakit lain membangunkan antibodi mereka.

“Allah tidak menduga insan di luar kemampuannya. COVID-19 ini akan mengubah hidup kita. Apakah kita mahu jadi manusia lebih baik? Maka bagi bekas pesakit COVID-19, selain bersyukur tidakkah kita mahu menjadi penyelamat? ” katanya.

Rosli berkata, dia berasa khuatir terhadap laporan yang mengatakan bahawa bekas pesakit COVID-19 akan mengalami 20 hingga 30 peratus kerosakan pada paru-paru.

“Atas sebab itu saya berenang setiap hari sejauh dua kilometer untuk menguatkan paru-paru dan memastikan ia tidak berlaku,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X