Sabtu, 11 April 2020 | 1:47pm
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid (dua kiri) dan Dr Mohamad Isa Mohd Ariff (kiri) melihat menu sarapan pagi untuk petugas barisan depan di Hospital Hulu Terengganu (HHT) hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid (dua kiri) dan Dr Mohamad Isa Mohd Ariff (kiri) melihat menu sarapan pagi untuk petugas barisan depan di Hospital Hulu Terengganu (HHT) hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar

COVID-19: Cairkan peruntukan pembangunan Parlimen

KUALA BERANG: Kerajaan dicadang mencairkan peruntukan pembangunan parlimen bagi membolehkan ia digunakan untuk menyediakan bantuan makanan asas kepada rakyat terkesan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menegaskan peruntukan bantuan bencana berjumlah RM400,000 habis dibelanjakan untuk menyediakan bantuan makanan asas sejak kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu.

Jelasnya, bantuan bencana itu juga bukan hanya digunakan untuk menyediakan barangan keperluan asas kepada masyarakat, sebaliknya turut dibelanjakan kepada petugas barisan hadapan.

“Kerajaan memperuntukkan bantuan pembangunan sebanyak RM1.5 juta setahun kepada setiap Ahli Parlimen termasuk RM400,000 bantuan bencana.

“Semua ahli parlimen seluruh negara sudah membelanjakan peruntukan bencana untuk membantu rakyat terkesan berikutan pengisytiharan PKP yang akan memasuki fasa ketiga Rabu minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau program sumbangan sarapan pagi kepada petugas barisan hadapan di Hospital Hulu Terengganu (HHT) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Perubatan HHT, Dr Mohamad Isa Mohd Ariff.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, cadangan mencairkan peruntukan pembangunan itu, bertujuan melancarkan pengagihan bantuan kepada masyarakat terkesan berikutan PKP.

Tegasnya, Ahli Parlimen tidak boleh sewenangnya mengguna dan menukarkan peruntukan pembangunan kepada bantuan bencana melainkan perlu mendapat kelulusan kabinet.

“Saya bagi pihak Ahli Parlimen Kerajaan akan membawa usul mencairkan peruntukan pembangunan kepada bantuan bencana pada mesyuarat kabinet Rabu ini.

“Sejak kerajaan mengumumkan PKP bagi mengekang penularan wabak COVID-19 bulan lalu, kebanyakan Ahli Parlimen belum menggunakan peruntukan pembangunan yang dikhaskan kerajaan, ” katanya.

Berita Harian X