Sabtu, 11 April 2020 | 12:39pm

COVID-19: Melaka Tengah kini zon merah

PUTRAJAYA: Melaka Tengah menjadi daerah terbaharu dikategorikan sebagai zon merah wabak penularan COVID-19 selepas mencatatkan 44 kes sehingga 12 tengah hari semalam.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan zon merah wabak penularan virus itu sebanyak 26 kawasan.

Menerusi infografik yang disiarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Lembah Pantai terus menjadi kawasan tertinggi mencatatkan kes COVID-19, iaitu sebanyak 413 kes, diikuti Hulu Langat (368) dan Petaling (328).

Sesebuah kawasan dikategorikan sebagai zon merah apabila mencatatkan lebih 41 kes dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan sekiranya terdapat pertambahan kes secara drastik.

Bagi keseluruhan kes di negara ini, Selangor terus menjadi negeri mencatatkan kes tertinggi positif COVID-19 dengan 1,148 kes direkodkan dan enam daerah di bawahnya sudah dikategorikan sebagai zon merah, iaitu Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang, Sepang dan Hulu Selangor.

Sehingga kini, sebanyak 4,346 kes positif COVID-19 dicatatkan di negara ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,830 kes atau 42.11 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sudah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang. Setakat ini Malaysia mencatatkan sebanyak 70 kematian.

Berita Harian X