Sabtu, 11 April 2020 | 12:20pm
Prof Dr Sazaly Abu Bakar
Prof Dr Sazaly Abu Bakar

COVID-19: Tiada keperluan buat gerbang nyah kuman

KUALA LUMPUR: Semburan cecair pada pakaian dan anggota badan melalui fasiliti gerbang nyah kuman tidak berkesan untuk mematikan virus yang menyebabkan jangkitan COVID-19.

Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata penggunaannya bukan sahaja tidak logik dari aspek saintifik, sebaliknya ia hanya memberikan kesan psikologi kepada orang awam yang bimbang dijangkiti wabak berbahaya itu.

“Inisiatif gerbang nyah kuman yang dibuat ini untuk memberikan kesan psikologi sahaja.

“Saya tidak nampak ia berkesan kerana virus itu berada di dalam badan mereka yang dijangkiti.

“Jika kuman itu berada di atas pakaian sekali pun, contohnya seseorang itu bersin terkena pada bajunya, masa digunakan untuk menyah mati virus agak lama iaitu dalam tempoh 10 minit,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.

Sazaly berkata, tempoh melalui gerbang nyah kuman itu yang dianggarkan dalam 10 hingga 20 saat tidak memberi kesan untuk membunuh bakteria COVID-19.

“Masa ketika melalui gerbang itu tidak akan berkesan membunuh bakteria COVID-19, melainkan jika menggunakan cecair disinfeksi yang kuat seperti cecair peluntur.

“Ia boleh membunuh kuman dalam masa kurang seminit, tetapi kesannya akan merosakkan pakaian dan memudaratkan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, cuaca panas di Malaysia lebih berkesan untuk membunuh kuman yang berada di luar badan termasuk pada pakaian.

“Di Malaysia, jika betul nak bunuh virus, kita tidak memerlukan gerbang semburan cecair itu, cuma amalkan berjalan dalam panas terik setiap pagi, sekurang-kurangnya lima minit.

“Ia cara terbaik untuk menyah kuman di luar badan kita termasuk pada pakaian kerana dalam keadaan kering, kuman mudah mati dan ia tidak boleh membiak di luar rumah.

“Apa yang membezakan Malaysia dengan negara Barat misalnya, mereka ada matahari tetapi cuaca masih sejuk dan menurut kajian, kadar kematian juga lebih tinggi (di luar negara) antaranya disebabkan vitamin D yang rendah dalam badan.

Katanya, vitamin D mudah diperoleh dengan memperbanyakkan minum susu dan mendedahkan anggota badan kepada cahaya matahari.

Justeru, katanya, fasiliti gerbang nyah kuman tidak diperlukan di tempat awam atas pelbagai faktor termasuk perlu melihat kepada bahan kimia yang digunakan.

“Kita tidak memerlukan fasiliti ini di tempat awam dan jika masih mahu menggunakannya perlu dipastikan apakah tujuannya.

“Antaranya perlu melihat kepada kandungan bahan kimianya kerana seperti yang kita ketahui, virus ini contohnya SARS-CoV-2 menyebabkan virus COVID-19 ini sebenarnya senang dimatikan.

“Selain itu, jika kadar kelembapan cecair penyembur terlalu tinggi, akan ada mikroorganisme lain yang akan membiak dengan lebih cepat iaitu jangkitan kulat dan ia boleh menyerupai jangkitan pada saluran pernafasan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata menjadikan fasiliti gerbang nyah kuman itu sebagai langkah pencegahan dilihat tidak bersesuaian kerana orang ramai akan mendapat pendedahan semula kuman selepas melaluinya.

“Ia tidak berkesan untuk membunuh kuman COVID-19 yang sudah masuk ke dalam badan, termasuk bagi pembawa virus berkenaan kerana ia (virus) berada dalam paru-paru.

“Sekiranya dikatakan gerbang ini bagi mencegah kuman secara umum, orang awam yang menggunakannya akan terdedah kepada kuman semula sebak keluar daripada fasiliti berkenaan.

“Ini disebabkan udara dan kawasan selepas gerbang terdedah kepada kontaminasi,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Sharifa Ezat berkata, kemudahan gerbang nyah kuman seperti dilaksanakan di beberapa kawasan bandar juga mungkin mengakibatkan kemudaratan.

“Ini disebabkan cecair yang digunakan ketika semburan boleh mengakibatkan rengsa pada bahagian mata, pernafasan, mulut, tekak dan kulit.

“Ini berupaya mengakibatkan kesan kecederaan kepada kulit, seperti alergi dan tindak balas pernafasan,” katanya.

Berita Harian X