Jumaat, 10 April 2020 | 7:42pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

80 rakyat kita di Arab Saudi, tiba tengah malam ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan seramai 80 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi susulan COVID-19 akan dibawa pulang ke tanah air, tengah malam ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mereka akan pulang dengan menaiki pesawat khas Saudi Arabian Airlines yang ditaja kerajaan Arab Saudi.

“Pesawat dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.30 tengah malam nanti.

“Selain 80 rakyat Malaysia, turut akan pulang menaiki pesawat ini ialah empat rakyat Brunei, seorang rakyat Indonesia, seorang rakyat Singapura serta dua rakyat Syria yang bertaraf penduduk tetap,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hishamuddin berkata, pesawat sama turut digunakan kerajaan Arab Saudi untuk membawa pulang rakyat mereka yang terkandas di Malaysia.

Justeru, beliau merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi kerana membantu rakyat Malaysia yang turut berdepan krisis COVID-19 ini.

“Bagi pihak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri, barisan kepimpinan kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat Kerajaan Arab Saudi.

“Khususnya Raja Arab Saudi yang juga penjaga dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas perkenan baginda untuk membantu Malaysia pada saat getir ini.

“Terima kasih juga kepada Putera Mahkota merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud yang amat prihatin demi memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi dijaga dengan baik,” katanya.

Katanya, dalam satu sidang video diadakan tiga minggu lalu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud, turut menyuarakan tekad untuk berjuang bersama-sama Malaysia sepanjang krisis COVID-19.

Menurut kenyataan sama, ini membuktikan betapa akrabnya hubungan Malaysia dan Arab Saudi.

Untuk rekod, ramai rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu susulan penggantungan penerbangan dan sekatan perjalanan oleh Kerajaan Arab Saudi.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X