Jumaat, 10 April 2020 | 7:28am
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA

Teka-teki tempoh PKP dijangka terjawab hari ini

KUALA LUMPUR: Teka-teki status penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir 14 April ini dilanjutkan atau tidak, dijangka terjawab ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada sidang media harian semalam, beliau menjelaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka membuat satu pengumuman mengenai langkah berikutnya bagi membendung penularan COVID-19.

Kemungkinan juga berkaitan dengan status PKP yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia selepas mengharungi tempoh tiga minggu penguatkuasaan sejak 18 Mac lalu.

Kerajaan melaksanakan PKP dengan hasrat memutuskan rantaian penularan COVID-19, dengan fasa pertama dari 18-31 Mac, diikuti fasa kedua dari 1-14 April.

Setakat semalam perkembangan pandemik COVID-19 adalah memberangsangkan apabila seramai 121 pesakit disahkan pulih iaitu melebihi jumlah kes positif 109 direkodkan menjadikan keseluruhan kes positif ialah 4,228 kes, dengan 67 kematian.

Sementara itu kadar pematuhan PKP adalah 97 peratus setakat semalam dan Polis Diraja Malaysia mengeluarkan 95 notis kompaun RM1,000 setiap satu terhadap individu ingkar PKP.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah keseluruhan zon merah di seluruh Malaysia ketika ini sebanyak 24 kawasan iaitu lokasi mencatat kes positif COVID-19 melebihi 41 kes.

Sehingga kini, empat lokasi dikenakan PKP Diperketat (PKPD), membabitkan Simpang Renggam (Johor), Hulu Langat (Selangor), dan tiga bangunan di Kuala Lumpur iaitu Menara City One, Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Simpang Renggam adalah lokasi pertama di negara ini dikenakan PKPD berkuat kuasa 27 Mac lalu selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19 dan kini dilanjutkan sehingga 14 April.

Selain itu, setakat semalam, tiga negeri terus mencatat jumlah kes positif COVID-19 tertinggi iaitu Selangor (1,118 kes), Kuala Lumpur (699 kes) dan Johor (503 kes).

Justeru, kata Dr Noor Hisham, adalah menjadi tanggungjawab rakyat secara keseluruhannya untuk mematuhi PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X