X
Khamis, 9 April 2020 | 6:43pm

'VIP terima BPN kerana rekod cukai 2018' - LHDN

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendedahkan, beberapa Ahli Parlimen dan kenamaan tersenarai sebagai penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana kelulusan dibuat secara automatik, berdasarkan data taksiran pendapatan individu itu pada 2018, yang ada dalam rekodnya.

Dalam kenyataannya hari ini, LHDN memaklumkan, penentuan penerima BPN dibuat mengikut kriteria pendapatan dengan data percukaian terkini, berdasarkan rekod percukaian Tahun Taksiran 2018 dan pangkalan data kerajaan.

Katanya, hanya individu yang mempunyai tahap pendapatan bercukai berada dalam julat pendapatan ditetapkan, layak menerima BPN.

“Merujuk isu beberapa Ahli Parlimen dan orang kenamaan turut layak dan menerima BPN, perlu dijelaskan bahawa kelulusan dibuat secara automatik berdasarkan data taksiran pendapatan individu itu pada 2018 dalam rekod LHDN.

“Namun demikian, LHDN menerima baik Ahli Parlimen yang secara sukarela memulangkan bayaran BPN itu. Mereka boleh berbuat demikian dengan mengemukakan surat penolakan dengan menyatakan nama penuh dan nombor MyKad.

“Seterusnya lampirkan draf bank dan cek atas nama Akauntan Negara Malaysia (mengikut jumlah pemulangan) dan dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan di Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Malaysia Presint 2, 62592 Putrajaya,” katanya.

Mengulas lanjut, LHDN menegaskan permohonan baharu atau rayuan BPN hanya tertakluk kepada individu tidak mendaftar dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum ini, manakala pembayar cukai perlu mengemaskini data peribadi masing-masing dengan LHDN.

“Pembayaran BPN seperti diumumkan sebelum ini bahawa penerima diluluskan secara automatik berdasarkan kepada pangkalan data BSH dan data rekod percukaian tahun taksiran LHDN tahun 2018.

“Kelulusan permohonan baharu adalah tertakluk kepada proses semakan dan verifikasi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Fuziah Salleh antara Ahli Parlimen yang didakwa ‘lulus’ permohonan BPN.

Berita Harian X