Khamis, 9 April 2020 | 5:50pm
Dr Samsu Ambia dan keluarganya menghabiskan masa kuarantin dengan membersihkan rumah bersama. - Foto Ihsan Dr Samsu Ambia
Dr Samsu Ambia dan keluarganya menghabiskan masa kuarantin dengan membersihkan rumah bersama. - Foto Ihsan Dr Samsu Ambia

COVID-19: 'Kuarantin ini banyak menginsafkan'

KUALA LUMPUR: “Memang hebat dugaan ini, namun rahmat tersembunyi juga besar kerana saya dapat habiskan masa bersama keluarga.”

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Teluk Intan, Perak, Dr Samsu Ambia Ismail, 49, menyifatkan ujian mengharungi detik dijangkiti COVID-19 bersama keluarga, mengandungi jutaan hikmah dan pengajaran sukar dilupakan.

Beliau disahkan positif COVID-19 pada 22 Mac lalu sebelum isteri, Mazriemi Mohd Zaki, 40 dan lima anak mereka berusia antara lapan hingga 19 tahun turut dijangkiti wabak berkenaan.

Memasuki hari ketujuh menjalani proses kuarantin di rumah di Teluk Intan, Dr Samsu Ambia memanjatkan kesyukuran kerana ramai rakan tampil membantu menghantar bekalan bahan keperluan asas ke rumah.

Beliau mengakui sibuk dengan kerjaya sebelum ini dan dengan sendirinya masa bersama keluarga amat terbatas.

“Tempoh kuarantin ini saya gunakan sebaiknya untuk meluangkan masa dengan keluarga dan melakukan proses nyah kuman di kediaman kami.

“Cabaran dikuarantin di rumah ini adalah akses terhad terhadap keperluan barangan seperti makanan kerana saya duduk di kawasan agak pedalaman.

“Oleh itu, saya amat bersyukur kerana ramai rakan yang sukarela membantu menghantar bekalan sampai saya naik segan... ahli keluarga kami jauh di Kuala Pilah dan Kota Bharu.

“Kami hanya menikmati masakan mudah disediakan seperti nasi goreng. Rasanya bekalan yang ada mencukupi sehingga berakhirnya kuarantin 17 April ini sebab kami memang tidak boleh keluar langsung.

Dr Samsu Ambia dan keluarganya menghabiskan masa kuarantin dengan membersihkan rumah bersama. - Foto Ihsan Dr Samsu Ambia
Dr Samsu Ambia dan keluarganya menghabiskan masa kuarantin dengan membersihkan rumah bersama. - Foto Ihsan Dr Samsu Ambia

Keluarga Dr Samsu Ambia Ismail yang sebelum ini positif COVID-19, kini disahkan sudah sembuh.
Keluarga Dr Samsu Ambia Ismail yang sebelum ini positif COVID-19, kini disahkan sudah sembuh.

“Semua ini menimbulkan keinsafan dan kesyukuran dalam diri kerana masih ramai di luar sana susah untuk makan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sesuatu yang disenangi oleh Dr Samsu Ambia ialah sudah memiliki berat badan ideal selepas kehilangan sembilan kilogram (kg) berikutan kehilangan selera sepanjang dijangkiti COVID-19.

Mengakui sebelum ini agak sukar menurunkan berat badan, beliau menganggap ujian berdepan COVID-19 membantu secara tidak langsung dalam menguruskan kesihatan.

Dalam keterbatasan pergerakan sepanjang kuarantin, Dr Samsu Ambia berkata, terbit keinsafan mendalam terhadap nikmat kebebasan, masa dan kesihatan yang wajar dihargai setiap orang.

Mengimbas detik bertarung dengan COVID-19, Dr Samsu Ambia berkata, ia bermula dengan demam berpanjangan, hilang deria rasa dan bau, loya serta batuk, selain jangkitan paru-paru.

Beliau menyifatkan keadaan seluruh ahli keluarganya dijangkiti COVID-19 sebagai perkara positif kerana sekurang-kurangnya mereka dapat bersama-sama menjalani rawatan di hospital.

“Masa itu saya terfikir, katalah kalau ada saya ada yang negatif, siapa yang boleh menjaga mereka menjalani proses kuarantin kerana ahli keluarga semua jauh.

“Maka apabila semuanya disahkan dijangkiti, saya memandangnya dari sudut positif kerana keluarga kami tidak terpisah.

“Ketika mengalami simptom teruk, saya amat bimbang jika tidak berpeluang berjumpa keluarga, namun Alhamdulillah, syukurlah kami dapat mengharunginya dengan baik, ” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X