Khamis, 9 April 2020 | 5:24pm
 Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO/BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO/BERNAMA

COVID-19: 121 individu sembuh dan dibenar pulang hari ini

PUTRAJAYA : Sebanyak 121 individu yang sebelum ini positif COVID-19 kini sudah sembuh dan dibenarkan pulang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu secara tidak langsung menjadikan jumlah kumulatif yang sembuh sepenuhnya di negara ini seramai 1,608 kes.

Katanya, bilangan kes yang pulih sepenuhnya hari ini melebihi kes baharu yang dilaporkan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM.)

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 109 kes baharu dilaporkan dan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini sebanyak 4,228 kes.

“Ini bermakna bilangan kes yang sembuh melebihi kes baharu dilaporkan. Daripada jumlah itu, seramai 72 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 43 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, turut dilaporkan di CPRC hari ini pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan COVID-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 67 kes atau 1.58 peratus daripada keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-66 (kes ke-2798) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik yang lain.

“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling. Beliau dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 9 April 2020 jam 5.00 pagi.

“Manakala kes kematian kedua iaitu ke-67 (kes ke-2864) ialah seorang wanita warganegara Malaysia berumur 23 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit tiroid.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif COVID-19 (iaitu kes ke- 2469 dan kes ke-2470) dan beliau adalah generasi ke-5 kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak.

“Beliau buknlah peserta persidangan di gereja terbabit. Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 9 April 2020 jam 9.42 pagi,” katanya.

"Ini adalah kematian termuda setakat ini, beliau juga difahamkan lambat mendapatkan rawatan di hospital iaitu tahap kesihatannya berada di tahap keempat iaitu memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X