X
Rabu, 8 April 2020 | 11:01pm
facebok shorturl.at/jnorU
facebok shorturl.at/jnorU

COVID-19: Majoriti netizen setuju PKP dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Tinjauan BH di media sosial menunjukkan majoriti pengguna bersetuju jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang sepatutnya berakhir 14 April ini, dilanjutkan.

Menerusi kaji selidik yang diwujudkan sejak jam 2.45 petang hari ini, sebanyak 85 peratus atau 150,450 pengguna Facebook menyatakan kesepakatan berhubung perkara itu, manakala selebihnya, iaitu 26,550 (15 peratus) tidak bersetuju.

Maklum balas menerusi Twitter, setakat jam 8 malam tadi pula menyaksikan seramai 1,908 pengguna atau 77 peratus menyokong supaya tempoh PKP dilanjutkan, manakala 570 pengguna (23 peratus) menolak.

Sementara itu, semakan di ruang komen pengguna kedua-dua media sosial mendapati wujud pelbagai reaksi berhubung pertimbangan sama ada PKP yang mula berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu dan bakal berakhir 14 April ini wajar dilanjutkan atau sebaliknya.

Pengguna akaun Facebook dikenali sebagai Cece Sanna berkata pelaksanaan PKP bukan dilaksanakan secara sengaja oleh kerajaan, sebaliknya ia bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa diutamakan daripada dijangkiti wabak COVID-19.

“Biarlah kita berpuasa, bertarawih secara berjemaah dengan ahli keluarga yang ada di rumah masing-masing, selain beraya di rumah masing-masing.

“Tidak balik kampung tahun ini sebab utama PKP adalah demi menjaga keselamatan semua rakyat, bukan nak sengaja buat arahan ini.

“Sudah tiada jalan lain, terpaksalah walau disekat kita berkumpul atau tidak dapat balik beraya, tetapi kerana Allah, kita masih boleh berpuasa sebulan,” katanya.

Anak jati Kota Kinabalu, d’Vince Garcia pula bersetuju demi kebaikan semua untuk melanjutkan tempoh PKP sehingga wabak COVID-19 berupaya dibasmi sepenuhnya di Malaysia.

Beliau berkata, keengganan untuk berbuat demikian bakal mengundang risiko penularan yang lebih dahsyat, memandangkan setiap individu, terutama kanak-kanak yang akan kembali ke sekolah berdepan bahaya jangkitan.

“Tolonglah, semuanya di tangan kita, ikutlah arahan Kementerian Kesihatan Malaysia dan kerajaan. Sama-sama kita bantu, semoga Allah permudahkan urusan kita,” katanya.

Pengguna lain dikenali sebagai Yuyun Yusuf pula mengakui semua pihak enggan untuk meneruskan lagi penguatkuasaan PKP yang bakal genap tempoh empat minggu, menjelang 14 April ini.

twitter shorturl.at/cqsy5
twitter shorturl.at/cqsy5

Bagaimanapun, katanya, masyarakat perlu memahami dan bersabar dengan ujian yang tercetus berikutan penularan COVID-19, selain menyokong usaha supaya matlamat ‘sifar kes’ berupaya dicapai.

“Barisan hadapan kita sedang bertarung habis-habisan, malah dijangkiti, manakala ekonomi negara dalam kritikal, justeru kekal berada di rumah.

“Jaga diri dan kebersihan. Kalau boleh isytihar saja darurat supaya yang masih pentingkan diri akur dengan perintah untuk kebaikan,” katanya.

Sementara itu, pelayar Twitter, @syafiqtop5 menyuarakan cadangan supaya kerajaan melanjutkan tempoh PKP yang bakal berakhir 14 April ini, sebelum situasi semasa jangkitan COVID-19 menjadi parah.

Meskipun wujud arahan sebelum ini untuk melarang sebarang perhimpunan selama enam bulan pasca PKP, beliau berkata, pendekatan itu tidak akan berkesan dalam konteks sikap masyarakat di Malaysia, ibarat ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’.

“Baru suruh duduk di rumah dua minggu pun mereka degil juga. Bulan puasa ini biar sebulan mereka tidak keluar.

“PKP yang seterusnya perlu keras, sebat saja 50 kali depan orang awam untuk yang keluar menggunakan alasan tidak munasabah,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X