Rabu, 8 April 2020 | 6:17pm
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa. FOTO/BERNAMA
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa. FOTO/BERNAMA

PKP: Rakyat asing digesa patuhi peraturan

PUTRAJAYA: Kerajaan menggesa kerjasama penuh daripada penduduk sekitar Kuala Lumpur, termasuk daripada kalangan bukan warganegara supaya mematuhi peraturan yang digariskan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata ini susulan perkembangan yang menunjukkan peningkatan penularan pandemik coronavirus (COVID-19), khususnya di sekitar Jalan Masjid India.

Beliau berkata, kerajaan amat memandang serius terhadap kes membabitkan kondominium padat penduduk, iaitu Selangor Mansion dan Malaya Mansion, selain Plaza City One yang menimbulkan kegemparan baru-baru ini.

“Seperti berlaku baru-baru ini, 30 penghuni dari hanya satu blok di Plaza City One disahkan positif COVID-19 dan ini satu jumlah yang besar. Ada kes membabitkan seorang penghuni yang melarikan diri dan tidak diketahui sama ada individu terbabit positif atau tidak (COVID-19).

“Tindakan seperti ini tidak akan membantu sesiapa, sebaliknya membahayakan diri sendiri dan orang ramai, lebih-lebih lagi jika penghuni itu positif dijangkiti virus berkenaan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, lebih membimbangkan apabila ada kes membabitkan anggota polis bertugas turut dijangkiti walaupun tidak berada di lokasi tercemar.

“Kita tak tahu bagaimana (jangkitan) boleh berlaku tapi kita percaya ia berpunca daripada pergerakan aktif, termasuk oleh individu positif COVID-19,” katanya.

Annuar berkata, siasatan mendapati ada unit yang diduduki sehingga 30 penghuni dan ia akan menimbulkan masalah sekiranya tempoh PKP dilanjutkan.

“Kami sudah memutuskan untuk mendirikan khemah peniaga barangan keperluan harian dan penghuni akan dibenarkan turun dalam jumlah terkawal bagi membeli barangan diperlukan manakala barangan lain seperti makanan misalnya, boleh dibeli menggunakan aplikasi penghantaran makanan.

“Kawalan ketat adalah perlu kerana di bawah pelaksanaan PKP yang lebih ketat, penghuni di dalam bangunan tidak dibenarkan keluar, dan hanya dibenarkan turun dalam kuantiti terkawal jika perlu membeli barangan keperluan, di bawah pengawasan pihak berkuasa,” katanya.

Saringan kesihatan juga masih dilakukan ke atas penghuni premis untuk mengenal pasti individu yang mungkin dijangkiti virus berbahaya itu.

“Pagi tadi saya sudah mengarahkan semua aktiviti di Jalan Masjid India dihentikan bagi membolehkan semua jalan, lorong dan koridor bangunan melalui proses disinfeksi.

“Kawasan berkenaan terdiri daripada 97 peratus rakyat asing dari tiga negara utama iaitu India, Pakistan dan Bangladesh.

“Kita sudah mengadakan pertemuan dengan wakil daripada tiga negara ini dan memberi jaminan untuk sentiasa menyalurkan perkembangan terkini kepada mereka.

“Kita juga sudah minta hebahan dalam tiga bahasa termasuk Tamil, Urdu dan Bangladesh supaya mesej yang mahu disampaikan, khususnya berhubung peraturan PKP dapat diterima dengan jelas oleh golongan terbabit,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X