Rabu, 8 April 2020 | 3:53pm
Gambar hiasan - Anggota Polis yang bertugas turut menggunakan PPE ketika tinjauan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Menara City One, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Gambar hiasan - Anggota Polis yang bertugas turut menggunakan PPE ketika tinjauan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Menara City One, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Bekas pelatih GiatMARA bantu hasilkan PPE

KUALA LUMPUR: Prihatin terhadap masalah kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang dihadapi petugas perubatan, 16 bekas pelatih GiatMARA Kuala Lumpur menawarkan diri menjahit peralatan itu.

Mereka secara bergilir-gilir menyiapkan peralatan itu yang terdiri daripada baju, pelindung kasut dan tudung, dari jam 8 pagi hingga 3 petang setiap hari sejak 28 Mac lalu di pusat kemahiran berkenaan.

Pengurus GiatMARA Kuala Lumpur, Amirudin Jamain, berkata beliau pada mulanya dimaklumkan seorang pegawai MARA bahawa Hospital Ampang perlukan tukang untuk menjahit PPE yang amat diperlukan hospital berkenaan bagi merawat kes COVID-19.

Amirudin kemudian menawarkan kepada bekas pelajar kursus jahitan sama ada mereka boleh menyediakan PPE itu dan mereka semua bersetuju untuk membantu secara sukarela.

“Hospital Ampang membekalkan kami dengan bahan untuk membuat PPE itu. Saya membahagikan sukarelawan kepada tiga kumpulan iaitu bagi menjahit baju, tudung dan pelindung kasut.

“Dalam sehari, kami boleh menyiapkan hingga 50 set PPE. Hingga kini, kami menyiapkan 240 baju, 550 tudung dan lebih 300 pelindung kasut,” katanya kepada BH, hari ini.

Amirudin yang turut terbabit secara langsung menyediakan PPE berkenaan, berkata mereka turut menyediakan PPE bagi klinik kesihatan di ibu negara, hasil sumbangan wang beberapa individu.

“Secara kebetulan, anak saya yang bertugas di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur memaklumkan, petugas di sana terpaksa menggunakan penutup kepala untuk melindungi kasut mereka.

“Kami turut menyediakan PPE bagi petugas di klinik itu. Selain itu, kami juga sedang menyiapkan pelindung muka menggunakan bahan yang boleh didapati di pasaran,” katanya.

Bagaimanapun, Amiruddin berkata, pihaknya berdepan masalah untuk mendapatkan bahan membuat PPE berikutan permintaan yang tinggi ketika ini.

“Jika ada bekalan bahan, insya-Allah kami akan meneruskan pembuatan PPE ini, sekali gus dapat sama-sama menyumbang kepada petugas barisan hadapan yang tidak putus-putus berkhidmat dalam memerangi wabak ini,” katanya.

Berita Harian X