Rabu, 8 April 2020 | 12:56pm

COVID-19: Proses nyah cemar cukup sekali kecuali ada kes, jangkitan baharu

KUALA LUMPUR: Proses nyah cemar cukup dilakukan sekali saja di kawasan atau bangunan yang disahkan mempunyai jangkitan atau pesakit positif COVID-19.

Pakar kesihatan awam, Dr Ahmad Zaid Fattah Azman, berkata proses yang sama boleh dilakukan kali kedua jika terdapat kes berulang di lokasi berkenaan.

Namun katanya, proses nyah cemar wajar dilakukan mengikut keperluan di zon merah dan juga kawasan diwarta sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Proses nyah cemar boleh dilakukan sekali saja sebabnya kuman terus mati apabila disembur klorin atau cecair antispetik. Bergantung apa bahan yang digunakan.

“Virus tidak akan muncul semula selepas proses nyah cemar kecuali jika ada orang yang dijangkiti virus masuk ke kawasan itu. Yang penting, proses nyah cemar perlu ditumpukan di zon merah dan PKPD,” katanya kepada BH, hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi agensi berkaitan melaksanakan operasi sanitasi awam atau nyah cemar.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata KKM mengeluarkan garis panduan itu selepas pihaknya menerima banyak aduan berhubung pelaksanaan operasi terbabit yang dikatakan tidak mengikut SOP.

Sejak 30 Mac lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaporkan melakukan 666 operasi nyah cemar seluruh negara membabitkan 79 zon termasuk 18 di zon merah dan 21 zon jingga.

Dr Ahmad Zaid Fattah yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, proses nyah cemar juga perlu ditumpukan kepada kawasan yang menjadi sentuhan utama manusia.

Katanya, proses itu harus dilakukan di pintu rumah, pintu pagar, tombol pintu termasuk butang lif kerana kebanyakan material yang digunakan menghasilkan alat itu adalah daripada bahan logam.

“Virus COVID-19 mampu bertahan lama pada bahan logam atau besi, justeru sepatutnya proses nyah cemar perlu ditumpukan di tempat yang sering disentuh manusia,” katanya.

Mengulas cadangan kerajaan hendak mewujudkan zon hijau sebagai kawasan bebas COVID-19, beliau menegaskan kawalan PKP tetap perlu dilaksanakan di sempadan zon hijau.

Katanya, penduduk di zon hijau sepatutnya tidak dibenarkan keluar daripada had sempadan ditetapkan dan orang luar terutama yang ada sejarah dari zon merah atau PKPD pula tidak dibenarkan masuk ke zon berkenaan.

“Maknanya, kita halang penduduk dari zon hijau bercampur bebas dengan orang dari luar zon mereka untuk memastikan wabak itu tidak merebak ke tempat mereka dan menjangkiti penduduk kawasan berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melakukan operasi nyah cemar bagi mengekang penularan COVID-19 di Pasar Besar Kedai Payang. FOTO/BERNAMA
    Kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melakukan operasi nyah cemar bagi mengekang penularan COVID-19 di Pasar Besar Kedai Payang. FOTO/BERNAMA
    Berita Harian X