Rabu, 8 April 2020 | 12:04pm
PKP dikuatkuasakan bagi mengekang penularan COVID-19. FOTO/BERNAMA.
PKP dikuatkuasakan bagi mengekang penularan COVID-19. FOTO/BERNAMA.

COVID-19: Pakar kesihatan awam sokong PKP dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Pakar kesihatan awam berpendirian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilanjutkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Mengambil kira kes kematian yang menjangkau 61 mangsa setakat ini dan pertambahan kes jangkitan baharu setiap hari, pakar menganggap langkah terbaik bagi mengekang penuluaran wabak itu adalah dengan melanjutkan lagi tempoh PKP.

Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, berkata pihaknya menyokong PKP diteruskan untuk beberapa minggu lagi sebagai langkah membendung wabak itu daripada terus merebak.

Katanya, tanpa PKP usaha kerajaan untuk mengekang wabak berkenaan dan memutuskan rantaian jangkitan sukar dilakukan jika dilihat kepada kes jangkitan yang dilaporkan setiap hari.

“Kami sokong jika kerajaan hendak melanjutkan lagi arahan PKP. Tambahan pula kita menerima laporan kemungkinan berlaku gelombang ketiga penularan wabak itu kerana ada kira-kira 8,000 lagi rakyat kita akan pulang pertengahan bulan ini.

“Lagi pun, PKP yang kerajaan laksanakan masih mempunyai kelonggaran untuk rakyat bergerak dari satu daerah ke daerah lain atau ke negeri lain dengan syarat mendapat izin pihak polis,” katanya kepada BH, hari ini.

PKP sepatutnya berakhir pada 14 April ini tetapi kerajaan dijangka membuat pengumuman mengenai statusnya sama ada diteruskan atau tidak pada 10 April ini.

Sementara itu, pakar kesihatan awam dan persekitaran, Dr Suhainizam Muhamad Saliludin, berkata langkah melanjutkan arahan PKP amat wajar berikutan masih ada kes jangkitan baharu dilaporkan pada setiap hari selain pewartaan zon PKP Diperketatkan (PKPD) di ibu negara.

Katanya, walaupun situasi penularan wabak COVID-19 ketika ini dilihat agak terkawal, namun setiap hari ada saja kes baharu yang direkodkan sekali gus menunjukkan jangkitan wabak itu masih berterusan.

“Maknanya, dalam komuniti kita hari ini, sudah ada kontak yang membawa jangkitan dan pada masa ini, kita belum dapat membendung wabak ini sepenuhnya.

“Selagi ada kes baharu, saya fikir PKP perlu diteruskan. Ini membabitkan soal keselamatan negara,” kata pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X