Rabu, 8 April 2020 | 10:34am
Penutup hidung dan mulut. - Foto NSTP
Penutup hidung dan mulut. - Foto NSTP

COVID-19: Peniaga rugi RM24,000 kes tipu topeng muka

KUANTAN: Hasrat seorang peniaga menjual penutup hidung dan mulut bukan sahaja tidak kesampaian, malah mendakwa modal berjumlah RM24,000 lesap, akibat diperdayakan penjual barangan itu di laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 31 tahun mendakwa berurusan dengan seorang suspek lelaki, yang mengiklankan perkhidmatan membekalkan penutup hidung dan mulut di sebuah kumpulan WhatsApp pada 24 Mac.

Mangsa mendakwa telah membuat bayaran penuh bagi membeli 400 kotak penutup hidung dan mulut pada 24 Mac lalu, dan dimaklumkan barangan itu akan dihantar menerusi perkhidmatan kurier yang mengambil masa selama tiga hari, untuk tiba.

“Bagaimanapun, mangsa mendakwa masih tidak menerima barangan itu sehingga semalam. Suspek juga memberi pelbagai alasan menyebabkan mangsa akhirnya marah dan membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, laporan dibuat di Balai Polis Jaya Gading di sini, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan, seorang remaja perempuan berusia 20 tahun mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket cabutan bertuah, kononnya anjuran sebuah syarikat telekomunikasi sehingga mengalami kerugian RM12,685.50.

Mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan mendakwa, menerima pesanan WhatsApp dua hari lalu, memaklumkan nombor telefonnya telah memenangi cabutan bertuah berupa wang tunai berjumlah RM12,000.

“Mangsa diarahkan untuk menghubungi nombor telefon yang disertakan bersama pesanan WhatsApp itu bagi urusan tuntutan hadiah, dan seorang suspek lelaki telah memberitahu mangsa perlu membuat sedikit bayaran sebelum boleh menerima hadiah.

“Suspek juga didakwa memberi nombor akaun yang perlu digunakan mangsa bagi transaksi pemindahan wang bagi tujuan bayaran dan berjanji semua wang tersebut akan dipulangkan bersama duit cabutan bertuah,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang mempercayai helah itu mendakwa telah membuat sembilan transaksi pemindahan wang ke dalam akaun diberikan suspek, sebelum menyedari dirinya berkemungkinan menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X