Selasa, 7 April 2020 | 6:32pm
KPDNHEP kini memberi tumpuan kepada aktiviti pemantauan bagi menangani isu pembekalan dan barangan keperluan harian, sepanjang tempoh PKP. - Foto hiasan
KPDNHEP kini memberi tumpuan kepada aktiviti pemantauan bagi menangani isu pembekalan dan barangan keperluan harian, sepanjang tempoh PKP. - Foto hiasan

KPDNHEP terima 1,466 aduan sepanjang PKP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,466 aduan dan pertanyaan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan hingga kelmarin.

Daripada jumlah itu, sebanyak 675 aduan membabitkan penutup hidung dan mulut, manakala 108 lagi mengenai pensanitasi tangan.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata pihaknya kini memberi tumpuan kepada aktiviti pemantauan bagi menangani isu pembekalan dan barangan keperluan harian, sepanjang tempoh PKP.

Beliau berkata, keseluruhan pemantauan itu dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Selain itu, katanya, sebanyak 65 notis kepada peniaga dikeluarkan mengikut Seksyen 21 AKHAP 2011, bagi mendapatkan maklumat berkaitan harga, kos atau untung bagi barangan tertentu.

“Sehingga kelmarin, sebanyak 1,035 pemeriksaan sudah dilakukan, masing-masing 770 di peringkat peruncit, pemborong (240) dan pengilang di enam negeri (25).

“12,917 premis topeng muka, masing-masing 12,697 di peringkat runcit manakala borong (220) diperiksa, sejak 29 Januari lalu hingga kelmarin. Terdapat 34 kes iaitu 28 daripadanya adalah kesalahan menjual melebihi harga maksimum ditetapkan.

“Kita melakukan pemantauan khusus bagi topeng muka dan pensanitasi tangan, selain pembekalan 23 barangan lain terpilih di peringkat pengilang, pemborong dan peruncitan,” katanya kepada BH, hari ini.

Iskandar berkata, KPDNHEP negeri turut diarahkan untuk membuat kawalan kendiri bagi pekedai yang menjual topeng muka bagi memastikan ia tidak dijual dengan kuantiti banyak kepada pelanggan dalam satu transaksi.

“Kawalan kendiri ini juga bagi memastikan pekedai mematuhi perundangan ditetapkan KPDNHEP. Kita juga mewujudkan pasukan petugas khusus memantau rantaian pengedaran barangan keperluan.

“KPDNHEP juga melantik pemborong dan peruncit di daerah terpilih sebagai pusat pembekalan bagi memastikan barang keperluan mencukupi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, barangan lain yang tiada penetapan harga masih boleh diperiksa atau disiasat mengikut perundangan pencatutan di bawah AKHAP 2011.

“Pencatutan berlaku jika peniaga cuba menaikkan harga secara mendadak dengan kenaikan terbabit melebihi kelayakan untung bagi barangan dijual dalam suatu tahun semasa.

“Kenaikan harga barangan tidak semestinya mencatut tetapi ia akan disiasat secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum peniaga disabitkan kesalahan terbabit,” katanya.

Info: Antara 23 barangan terpilih di peringkat pengilang, pemborong dan peruncitan

* Minyak masak

* Tepung gandum

* Biskut

* Sardin

* Ayam

* Makanan sejuk beku

* Sayur

Berita Harian X