Selasa, 7 April 2020 | 6:07pm
DUTA Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel. - Foto BERNAMA
DUTA Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel. - Foto BERNAMA

Kedutaan bawa pulang rakyat Malaysia di Bangkok

BANGKOK: Kedutaan Malaysia di Bangkok bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas, susulan pembatalan penerbangan dan sekatan perjalanan, berikutan wabak COVID-19.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel, berkata terdapat 233 rakyat Malaysia yang terkandas dan kebanyakannya berada di wilayah selatan.

“Kedutaan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand di wilayah selatan untuk membenarkan mereka meninggalkan negara ini, melalui pos pemeriksaan sempadan.

“Setakat ini, mereka dapat melalui pintu masuk sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam dan Sungai Kolok-Rantau Panjang.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa rakyat Malaysia yang terkandas dan lebih suka tinggal di Thailand sehingga keadaan lebih baik,” katanya di sini hari ini.

Pada 4 April, 101 rakyat Malaysia termasuk pelajar di Thailand menaiki penerbangan khas Malaysia Airlines untuk pulang ke negara asal.

Sehingga kini, lebih 200 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah selatan Thailand sudah pulang ke negara asal melalui sempadan, selepas mendapatkan kelulusan gabenor wilayah.

Pada 23 Mac, kerajaan Thailand mengumumkan penutupan semua sembilan pusat pemeriksaan sempadannya dengan Malaysia sehingga diberitahu kelak.

Dalam usaha mengekang penularan COVID-19, kerajaan Thailand turut menutup semua sempadannya dengan negara jiran lain seperti Laos, Kemboja dan Myanmar.

Semua rakyat Thailand dan warga asing tidak dibenarkan keluar atau masuk ke Thailand melalui mana-mana pintu masuk sempadan.

Sementara itu, hanya satu pusat pemeriksaan sempadan darat atau air di setiap wilayah bersempadan dengan Malaysia dibuka untuk mengangkut barang.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) melarang semua penerbangan pesawat penumpang antarabangsa masuk ke Thailand, sehingga 18 April.

Thailand mengisytiharkan darurat bermula 26 Mac hingga 30 April.

Sehingga kini, Thailand mencatatkan 2,258 kes COVID-19 dengan 27 kematian.

– BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X