Selasa, 7 April 2020 | 5:19pm
Muhyiddin (kanan) menerima sumbangan cek bernilai RM2 juta untuk Tabung COVID-19 dalam bentuk sumbangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) daripada Western Digital Malaysia yang disampaikan oleh Syed Hussian pada majlis penyerahan sumbangan Tabung COVID-19 dari sektor korporat di Bangunan Perdana Putra hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Muhyiddin (kanan) menerima sumbangan cek bernilai RM2 juta untuk Tabung COVID-19 dalam bentuk sumbangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) daripada Western Digital Malaysia yang disampaikan oleh Syed Hussian pada majlis penyerahan sumbangan Tabung COVID-19 dari sektor korporat di Bangunan Perdana Putra hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kutipan Tabung COVID-19 cecah RM22.66 juta

PUTRAJAYA: Tabung COVID-19 terus mendapat perhatian pelbagai pihak apabila hari ini menerima sumbangan wang tunai dan barangan bernilai RM4 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan RM22.66 juta setakat ini.

Sumbangan daripada syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diterima Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Western Digital Sdn Bhd (Western Digital), antara syarikat yang tampil menghulurkan sumbangan dalam bentuk peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM2 juta.

Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Kumpulan, Operasi Malaysia Western Digital Sdn Bhd, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid.

Sementara itu, Syed Hussian yang juga Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), berkata sumbangan 25,000 unit PPE itu mula diagihkan sejak Sabtu lalu di Hospital Pulau Pinang sebanyak 5,000 unit dan Hospital Sebarang Jaya (1,000 unit).

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 14,000 unit PPE sudah diagihkan termasuk masing-masing 2,000 unit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Sungai Buloh dan hospital di Johor serta Sarawak.

Beliau berkata, sebanyak 10,000 unit PPE sedang ditempah dari pembekal di China, dan baki 11,000 unit akan diagihkan selepas ini.

Katanya, Western Digital sememangnya tidak asing dengan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pernah terbabit memberi sumbangan kepada mangsa tsunami pada 2004.

“Program CSR kami ini agak aktif dan apabila kita dengar ada petugas barisan hadapan perubatan yang kekurangan PPE sehingga terpaksa membuatnya sendiri, kami berbincang dan bersetuju untuk menyumbang sebanyak 25,000 unit untuk dihantar ke hospital.

“Kita cuba dapatkan topeng muka jenis N95 tapi susah nak dapat bekalan. Benda ini juga yang diminta pihak hospital tetapi kita susah sikit nak beli.

“Ini diharapkan dapat membantu petugas barisan hadapan perubatan kita yang bertungkus lumus siang malam sehingga ada doktor dan jururawat yang difahamkan tidak balik dua minggu berjumpa keluarga.

“Jadi kami di Western Digital prihatin. Sumbangan ini untuk membantu pasukan barisan hadapan kita yang bertungkus lumus untuk kesihatan penduduk Malaysia,” katanya kepada pemberita, selepas majlis penyerahan sumbangan itu.

Yang turut hadir, Naib Presiden HDD Operations Western Digital Tech and Regional Center (M) Sdn Bhd, Philip Bernard Saram dan Naib Presiden, Global Flash Backend Operations, SDSM, Western Digital, KL Bock.

Syed Hussian berkata, selain itu, Western Digital turut menyumbangkan pelindung muka yang dihasilkan kakitangan di fasilitinya di Batu Kawan, Pulau Pinang serta bahan nyah kuman.

Katanya, sumbangan pelindung muka itu adalah inisiatif sendiri sebagai tambahan kepada PPE yang disumbangkan.

“Kami beli bahan mentah dan buat sendiri. Pekerja kita teruja untuk menyumbang dan mereka buat sendiri,” katanya.

Sumbangan turut diterima daripada Telekom Berhad yang diwakili pengerusinya, Rosli Man, sebanyak RM2 juta; manakala Sunway Berhad menerusi Pengarah Urusan Sunway Property Development, Malaysia & Singapore, Serena Cheah, menyumbang sebanyak RM1 juta dan RANHILL Berhad, yang diwakili presidennya, Datuk Seri Kamarudin Ambok, menyumbang RM1 juta.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X