Selasa, 7 April 2020 | 3:20pm

COVID-19: Semua zon merah sudah dinyah cemar

KUALA LUMPUR: Semua kawasan zon merah sudah dilaksanakan proses sanitasi nyah cemar dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melaksanakan 666 operasi nyah di 79 zon.

“Semalam, sebanyak 102 operasi sanitasi merangkumi 48 zon di 13 negeri termasuk 32 di Johor dan 14 di Kuala Lumpur sudah dilaksanakan operasi nyah cemar.

“Setakat hari ini juga, semua zon merah sudah dinyah cemar,” katanya pada sidang media Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kawasan lain yang sudah dinyah cemar adalah 514 bangunan kerajaan dan 17 projek perumahan rakyat (PPR) membabitkan 24,077 unit kediaman.

Beliau berkata, sebanyak 122 pusat kuarantin beroperasi setakat semalam yang mana seramai 7,500 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Ada peningkatan dari segi pusat kuarantin yang dibuka dan semalam seramai 233 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara dikuarantin secara wajib,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah terkini kutipan Tabung COVID-19, Ismail Sabri berkata, ia akan diumumkan esok termasuk berhubung pelaksanaan agihannya.

“Selain mengenai kutipan Tabung COVID-19, saya juga akan mengumumkan proses pengedaran topeng muka secara percuma kepada rakyat seperti yang dijanjikan kerajaan,” katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Anggota bomba melakukan nyah cemar di sekitar gerai di Bukit Pantai, Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
    Anggota bomba melakukan nyah cemar di sekitar gerai di Bukit Pantai, Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
    Berita Harian X