Isnin, 6 April 2020 | 3:31pm
KPDNHEP akan ambil tindakan peniaga ambil kesempatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Gambar hiasan. Foto NSTP/Akma Bakar
KPDNHEP akan ambil tindakan peniaga ambil kesempatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Gambar hiasan. Foto NSTP/Akma Bakar

COVID-19: Pengguna perlu lapor kenaikan harga ketika PKP

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan siasatan ke atas mana-mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata siasatan itu akan berpandukan rungutan pengguna, sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga barangan sepanjang tempoh PKP.

Iskandar Halim berkata, tindakan juga akan diambil ke atas mana-mana peniaga, jika didapati mencatut harga barangan masing-masing.

“Sehubungan itu, KPDNHEP perlu tahu aduan kenaikan supaya siasatan boleh dibuat ke atas peniaga berkenaan secara spesifik.

“Kita akan mengalami kesukaran untuk mengambil tindakan kepada peniaga yang mengambil kesempatan jika ia dibuat secara umum,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Beliau mengulas gesaan supaya pemantauan dilakukan terhadap peniaga cuba mengambil kesempatan sepanjang PKP dengan menaikkan harga barang hingga membebankan pengguna yang terhimpit ekoran COVID-19.

Semalam, kerajaan dilapor memberi peringatan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati sepanjang PKP.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menggalakkan rakyat melaporkan kepada KPDNHEP, jika mendapati peniaga menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Berita Harian X