Ahad, 5 April 2020 | 7:03pm

COVID-19: Peningkatan kes kerana saringan di 3 PKPD

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes baharu positif COVID-19, hari ini dipercayai berpunca daripada aktiviti pengesanan aktif di tiga kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tiga kawasan terbabit ialah dua kampung di Simpang Renggam, Kluang, Johor dan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, selain Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seramai 1,634 orang daripada 3,755 penduduk di PKPD Kluang menjalani proses saringan setakat ini.

“Kes positif di Kluang ada pertambahan 12 orang, berbanding 135 semalam, manakala Kampung Dato Ibrahim Majid merekodkan pertambahan 12 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 112 orang.

“Sebanyak 35 kes pula membabitkan lain-lain lokaliti iaitu pecahan mengikut mukim menyaksikan Ulu Benut dengan 124 kes, Kluang (18), Machap (empat) dan satu kes di Nyior.

“Hulu Langat pula setakat ini merekodkan seramai 1,685 orang daripada 1,797 penduduk di sana sudah disaring, dengan pertambahan kes positif sebanyak 14 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 328 kes,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Kementerian Kesihatan memaklumkan, sebanyak 179 kes baharu dilaporkan hari ini berbanding 150 kes semalam, sekali gus merekodkan jumlah kes positif semasa COVID-19 di Malaysia adalah 3,662 kes.

Dr Noor Hisham berkata, peningkatan 19.3 peratus berbanding rekod semalam antara lain turut berpunca daripada lima kes baharu yang dikesan di PKPD Menara City One.

"Daripada 1,893 penduduk pangsapuri yang disaring, sebanyak lima kes positif dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan 24 orang," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Petugas Kementerian Kesihatan di Menara City One yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan wabak COVID-19. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
    Petugas Kementerian Kesihatan di Menara City One yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan wabak COVID-19. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
    Berita Harian X