Ahad, 5 April 2020 | 6:19pm

COVID-19: Empat lagi kematian dicatat

KUALA LUMPUR: Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan empat pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan angka korban meningkat kepada 61 orang atau 1.67 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kematian ke-58 (kes ke-2,210) ialah lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta darah tinggi, selain sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-1,031.

“Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia semalam pada jam 1.37 tengah hari.

“Kes kematian ke-59 (kes ke-3,484) membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 68 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia semalam pada jam 3.40 petang.

“Kes kematian ke-60 (kes ke-3,073) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 31 Mac lalu sebelum disahkan meninggal dunia hari ini pada jam 12.39 tengah hari tadi.

“Kes kematian ke-61 (kes ke-2,200) pula ialah lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi serta penyakit buah pinggang.

“Beliau dirawat di Hospital Keningau, Sabah pada 26 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia semalam pada jam 9.36 malam,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Hasil perkhidmatan rawatan, Dr Noor Hisham memaklumkan 90 kes disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19 dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih berikutan wabak terbabit ialah 1,005 orang atau 27.44 peratus.

INFOGrafik Kementerian Kesihatan
INFOGrafik Kementerian Kesihatan

Setakat jam 12 tengah hari tadi, katanya, sebanyak 179 kes baharu dilaporkan, sekali gus merekodkan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 3,662 kes.

“Daripada 179 kes ini, 46 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling. Sehingga kini, seramai 99 kes positif COVID-19 sedang dirawat di ICU dan 48 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X