Ahad, 5 April 2020 | 5:54pm
 Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan
Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

'Jangan sesakkan lagi penjara'

KUALA LUMPUR: Individu yang didapati bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak perlu ditempatkan di penjara, sebaliknya lebih wajar hukuman khidmat masyarakat.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata khidmat komuniti dilihat sebagai hukuman alternatif sesuai bagi menyelesaikan isu kesesakan banduan di penjara.

“Hingga 1 April, seramai 378 orang menjalani hukuman penjara bagi kesalahan PKP. Menghantar pesalah PKP ke penjara adalah sama dengan ‘mengkompaun’ satu masalah dengan masalah lain.

“Penjara sudah penuh sesak dan penambahan banduan akan memburukkan lagi keadaan serta menjadikan penjarakan sosial di penjara tidak mungkin dilaksanakan.

“Sekiranya berlaku wabak COVID-19 di penjara, ia akan tersebar tanpa kawalan, mengancam nyawa tahanan dan pegawai penjara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hukuman khidmat masyarakat, katanya, akan dapat meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kesalahan dilakukan dan kepentingan PKP.

“Tindakan sedemikian dibuat mengikut undang-undang dan akan memenuhi tujuan hukuman segera selain menanam kesedaran masyarakat dan meringankan ‘beban’ penjara yang kini penuh sesak,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata isu menempatkan individu di penjara selepas dijatuhkan hukuman kerana ingkar PKP akan dibincangkan secara lebih lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Lam Thye berkata, statistik polis yang menunjukkan PKP mencapai tahap kepatuhan 99 peratus adalah satu perkembangan positif.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, pematuhan orang ramai terhadap PKP bagi menangani wabak COVID-19 kini meningkat kepada 99 peratus.

Berita Harian X