Sabtu, 4 April 2020 | 11:55pm
Gambar fail. - Anggota polis mengadakan sekatan di Jalan Loke Yew bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Gambar fail. - Anggota polis mengadakan sekatan di Jalan Loke Yew bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19. - Foto NSTP/Aswadi Alias

5 lelaki alihkan konkrit sekatan jalan, rempuh polis

KUALA LUMPUR: Lima lelaki ditahan kerana cubaan bunuh dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas pemantauan lalu lintas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penahanan suspek berusia antara 20 hingga 27 tahun itu dibuat di kawasan sekatan jalan Country Homes menghala Jalan Kundang, dekat Gombak, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata dalam kejadian jam 8.30 malam, empat suspek berkenaan dilihat mengalihkan konkrit digunakan dalam sekatan jalan raya berkenaan sebelum melarikan diri.

“Seorang lelaki melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Honda City manakala tiga lagi dengan Perodua Alza.

“Kereta Perodua itu yang mengundur dengan laju turut merempuh seorang anggota polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dan motosikal polis di kawasan berdekatan.

“Dengan pergelutan, polis akhirnya dapat menangkap empat suspek itu. Anggota yang dirempuh cedera di tangan dan badan manakala motosikal terbabit rosak teruk di bahagian depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, seorang lagi suspek yang berada di kawasan sekatan itu memegang telefon bimbitnya dipercayai cuba merakam insiden terbabit dari dalam keretanya.

“Lelaki terbabit enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif terhadap polis. Dalam hal ini, kita mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah.

“Selain menahan mereka, kita turut menyita dua kenderaan dan satu telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya.

Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharaan Kawasan Tempatan Jangkitan 2) 2020.

Berita Harian X