Sabtu, 4 April 2020 | 5:33pm
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyembur bahan pembasmi kuman ketika operasi nyah cemar di Pasar Borong Kuala Lumpur yang dikategorikan zon merah COVID-19. NSTP/Eizairi Shamsudin
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyembur bahan pembasmi kuman ketika operasi nyah cemar di Pasar Borong Kuala Lumpur yang dikategorikan zon merah COVID-19. NSTP/Eizairi Shamsudin

PKPD langkah efektif kekang penularan di Zon Merah

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) lebih efektif berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi yang diisytiharkan sebagai Zon Merah kes positif COVID-19.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Zinin, berkata PKPD membolehkan pihak berkuasa mengawal pergerakan penduduk secara lebih ketat, selain menumpukan operasi nyah kuman di kawasan amat memerlukan.

“PKPD adalah ‘total lockdown’ (perintah berkurung) manakala PKP masih memberi ruang kepada rakyat untuk bergerak. Lebih praktikal kalau laksanakan PKPD berbanding PKP di kawasan Zon Merah.

“Pihak keselamatan dapat fokus kepada sesuatu kawasan, penugasan pengawalan yang lebih spesifik.

“Namun keputusan akhir (laksana PKPD di kawasan zon merah) bergantung kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk berbuat demikian atau sebaliknya,” katanya pada BH, hari ini.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Zinin. Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Zinin. Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

Ditanya keperluan melanjutkan tempoh PKP, Mohd Bakri berkata, ia bergantung kepada saranan Kementerian Kesihatan (KKM), selepas membuat kajian khusus berhubung tahap risiko semasa penularan COVID-19.

“KKM akan mengkaji segala aspek yang ada untuk membendung penularan penyakit ini. Kalau KKM sudah kata tiada pilihan (kena lanjutkan tempoh itu), rakyat perlu akur.

“Namun, jika KKM atau WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) ada menemui jalan penyelesaian lain untuk kawal COVID-19 termasuk menemui ubat atau penawar wabak itu, tiada masalah (tidak lanjutkan tempoh PKP),” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X