Sabtu, 4 April 2020 | 5:07pm
Pemantauan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam. - Foto ihsan APM
Pemantauan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam. - Foto ihsan APM

COVID-19: Penduduk Simpang Renggam bimbang PKPD disambung

KLUANG: Penduduk yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, dekat sini, bimbang jika perintah berkenaan bakal dilanjutkan susulan peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Abd Taib Abu Bakar, berkata perkara itu antara isu utama yang menjadi kebimbangan penduduk yang dibangkitkan kepadanya menerusi mesej WhatsApp yang dihantar mereka.

“Penduduk yang menjalani PKPD di Simpang Renggam akur dan patuh arahan mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah hingga 9 April nanti.

“Namun laporan berita semalam mengenai jumlah pesakit positif COVID-19 yang meningkat di Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid ternyata merisaukan penduduk, justeru mereka membangkitkan sama ada PKPD di kawasan mereka akan dilanjutkan.

“Kebanyakan penduduk di kawasan terjejas adalah pekebun sawit dan nanas. Jika PKPD dilanjutkan semua hasil tanaman akan terbiar di ladang.

“Bagaimanapun mereka akur jika PKPD hanya satu-satunya jaminan keselamatan penduduk di situ, dan mahu rantaian COVID-19 diputuskan sekali gus mereka kembali menjalani kehidupan biasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, kawasan PKPD membabitkan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid merekodkan 97 kes positif semalam berbanding 89 kes kelmarin.

Pada 26 Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan mengumumkan, dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD mulai tengah malam selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19.

ATM bersama PDRM dan APM membuat persiapan untuk pemantauan udara di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam. - Foto ihsan APM
ATM bersama PDRM dan APM membuat persiapan untuk pemantauan udara di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam. - Foto ihsan APM

Perintah PKPD membabitkan lebih 3,570 penduduk tempatan terdiri daripada hampir 700 keluarga di dua kampung berkenaan.

Perintah berkenaan berkuat kuasa mulai tengah malam 27 Mac lalu dan dijangka tamat pada Khamis ini.

Kira-kira 70 peratus penduduk terjejas terdiri daripada pekebun sawit dan nanas yang di dua penempatan berkenaan, 20 peratus pekerja di kawasan perindustrian Simpang Renggam manakala 10 peratus lagi sama ada bekerja sendiri, berniaga atau penjawat awam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X