Sabtu, 4 April 2020 | 4:10pm
Hassan Basri (kiri) menyerahkan sumbangan pelindung muka kepada Abdul Rozak pada majlis Penyerahan Penutup Muka kepada IPD Besut di UniSZA. - Foto Ihsan UniSZA
Hassan Basri (kiri) menyerahkan sumbangan pelindung muka kepada Abdul Rozak pada majlis Penyerahan Penutup Muka kepada IPD Besut di UniSZA. - Foto Ihsan UniSZA

COVID-19: UniSZA agih 200 pelindung muka kepada IPD Besut

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyerahkan sebanyak 200 unit pelindung muka kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut untuk kegunaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, set pelindung muka itu dihasilkan untuk semua petugas barisan hadapan sekitar Terengganu dalam menangani penularan wabak coronavirus (COVID-19).

“Pihak UniSZA mengambil inisiatif dengan menyumbang kepakaran untuk menyediakan produk inovasi untuk keperluan barisan hadapan dalam usaha bersama menghentikan jangkitan COVID-19 itu.

“Usaha itu sebagai satu sumbangan khidmat masyarakat yang dijalankan UniSZA untuk bersama-sama membantu pihak berkaitan termasuk petugas hospital dan polis,” katanya pada majlis Penyerahan Penutup Muka kepada IPD Besut di UniSZA, hari ini.

Penutup muka itu disampaikan Hassan kepada Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad.

Hassan berkata, sehingga kini lebih 1,000 unit pelindung muka dihasilkan dan sebahagian besar sudah diedarkan kepada pihak hospital.

“UniSZA berharap dapat menghasilkan lebih banyak pelindung muka untuk kegunaan barisan hadapan menerusi sumbangan dana daripada pelbagai agensi dan orang ramai dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rozak berkata, pihaknya berterima kasih kepada UniSZA di atas sumbangan penutup muka itu.

“Dengan adanya pelindung muka itu keselamatan petugas barisan hadapan lebih terjamin daripada dijangkiti COVID-19 sepanjang menjalankan tugas.

“Saya harap UniSZA tidak hanya memberi sumbangan itu kepada IPD Besut, tetapi turut diagih kepada semua IPD di daerah lain yang memerlukan,” katanya.

Pada majlis itu juga, IPD Besut memberi sumbangan bekalan makanan kepada pengawal keselamatan UniSZA yang bertugas sepanjang tempoh PKP.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X