Sabtu, 4 April 2020 | 1:47pm
Reza Huzairi Zainudin, disahkan bebas COVID-19. Sebelum ini turut dikuarantin bersama anak yang berusia 12 tahun. FOTO/Ehsan Reza Huzairi Zainudin
Reza Huzairi Zainudin, disahkan bebas COVID-19. Sebelum ini turut dikuarantin bersama anak yang berusia 12 tahun. FOTO/Ehsan Reza Huzairi Zainudin

COVID-19: Bekas pesakit trauma, masih berjaga-jaga

KUALA LUMPUR: Bekas pesakit COVID-19 mengakui masih trauma dengan pengalaman dijangkiti wabak berkenaan dan sehingga kini masih mengamalkan langkah pencegahan sebaiknya.

Reza Huzairi Zainudin, 41, berkata beliau masih lagi kerap mencuci tangan dan mengamalkan penjarakkan sosial selain duduk di rumah meskipun dirinya dimaklumkan oleh doktor bahawa risiko jangkitan kali kedua hampir tiada kerana badannya sudah terimunisasi dengan wabak itu.

Beliau yang juga Naib Presiden Kanan Modal Insan Kumpulan UDA Holdings Berhad, berkata selain itu, dia juga sentiasa mengamalkan senaman ringan untuk kekal bertenaga sejak dibenarkan pulang pada 14 Mac lalu selepas 11 hari dikuarantin di Hospital Sungai Buloh, dekat sini.

“Saya ada bertanya kepada pihak doktor sama ada masih berisiko untuk dijangkiti lagi dengan COVID-19 selepas sembuh, namun menurut mereka, disebabkan badan sudah mempunyai antibodi yang imun terhadap virus itu, maka risikonya adalah hampir kosong.

“Kemungkinan kena balik itu mungkin tiada namun saya masih mengambil pendekatan berjaga-jaga sebab wabak ini masih ada...saya pun trauma kena COVID-19 jadi eloklah teruskan amalan penjagaan.

“Selain itu, selepas disahkan sembuh, pasca simptom yang saya alami ialah badan memang sangat letih dan deria bau menjadi kuat atas sebab itu saya amalkan senaman ringan,” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Reza Huzairi ialah kes positif COVID-19 ke-46 melalui gelombang kedua wabak itu dan mula dimasukkan ke hospital pada 4 Mac lalu selepas disahkan positif susulan mengalami simptom demam dan keletihan.

Selepas disahkan pulih sepenuhnya, Reza Huzairi yang berasal dari Jitra,Kedah menjadi rakyat Malaysia pertama mendermakan ‘convalescent plasma’ bagi menguji serum untuk rawatan COVID-19.

Katanya, beliau secara sukarela bersetuju untuk terbabit dalam program itu kerana berasa ia adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia untuk turut sama-sama membantu meredakan penularan wabak ini.

“Saya ingin turut membantu dalam peperangan terhadap COVID-19 dan apabila dihubungi pihak hospital saya teruja untuk menyertai program ini pada Khamis lalu...mana tahu sedikit pertolongan ini boleh menyelamatkan nyawa pesakit.

“Jika tiada aral, saya ingin menderma plasma lagi kerana mereka perlukan antobodi yang boleh melawan COVID-19 daripada bekas pesakit...mungkin dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi saya akan derma semula, lagipun ia tidak menyakitkan, ” katanya.

Mengimbau kembali kenangan sepanjang ditempatkan di wad isolasi, Reza Huzairi yang turut dikuarantin bersama anaknya yang berusia 12 tahun berkata, beliau mengisi masa lapang itu dengan melakukan kerja pejabat dari hospital seperti mengadakan mesyuarat maya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X