Sabtu, 4 April 2020 | 11:34am
KOTAK perlindungan intubasi.
KOTAK perlindungan intubasi.

COVID-19: Pakar bedah hasilkan kotak intubasi bantu petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR: Didorong niat membantu petugas barisan hadapan mengendalikan pesakit COVID-19, seorang perunding pembedahan mengambil inisiatif menghasilkan kotak perlindungan intubasi untuk diedarkan secara percuma kepada hospital dan klinik awam di seluruh negara.

Melalui proses yang mengambil masa hanya satu jam menggunakan plastik acrylic lut sinar, Prof Dr Firdaus Hariri, 42, berkata kotak perlindungan intubasi itu mampu berfungsi sebagai perisai untuk petugas perubatan barisan hadapan semasa melakukan prosedur intubasi pada pesakit COVID-19.

“Walaupun kebanyakan petugas barisan hadapan kita menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) semasa melakukan prosedur berisiko, kotak ini akan memberikan perlindungan tambahan daripada terkena titisan sekresi pernafasan daripada pesakit dan mengurangkan lagi risiko terdedah kepada jangkitan semasa.

“Kotak ini dengan lubang untuk memasukkan tangan mampu memberikan perlindungan tambahan kepada petugas perubatan dan dalam masa sama ia tidak menghalang pergerakan tangan mereka bagi menjalankan prosedur menyelamatkan atau mengambil calitan tekak pesakit,” katanya.

Menceritakan pengalamannya memulakan inisiatif itu, Pakar Perunding Pembedahan Mulut dan Maksilofasial Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu, berkata beliau mula mengetahui mengenai kotak itu melalui media sosial seorang doktor daripada Taiwan.

Tertarik dengan idea itu, beliau terus menghubungi doktor berkenaan untuk meminta kebenaran menggunakan segala maklumat berkaitan reka bentuk kotak berkenaan.

“Setelah mendapat kebenaran, saya meminta bantuan dua orang rakan yang mempunyai studio arkitek untuk membuat model 3D (tiga dimensi) dan menghasilkan beberapa prototaip kotak itu dan kemudian kita edarkan ke PPUM dan Hospital Selayang. Kita dapat maklum balas positif dan input bagi penambahbaikan kotak itu di samping respon baik terutamanya di media sosial.

“Bermula daripada situ, inisiatif ini berkembang dan saya telah mendapat bantuan dan sokongan masyarakat daripada pelbagai latar belakang serta syarikat-syarikat yang turut sama membantu menghasilkan kotak ini,” menurutnya.

Dr Firdaus berkata kos menghasilkan kotak intubasi itu adalah antara RM150 hingga RM200 seunit dan ia juga bergantung kepada bekalan dan harga plastik acrylic yang berbeza mengikut kawasan.

“Kos bukan isu utama kerana usaha ini merupakan khidmat kepada negara daripada seluruh pihak yang memberikan bantuan.

“Sumbangan yang telah diterima bagi pembelian kos untuk material daripada syarikat atau individu membolehkan penghasilan dan pengedaran kotak-kotak ini dilakukan secara percuma kepada fasiliti kesihatan yang memerlukan” katanya.

Sehingga hari ini, melalui hasil kerjasama Dr Firdaus dengan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Old Putera Association (OPA), sebanyak 249 unit kotak intubasi dan pelindung pensampelan (digunakan semasa prosedur mengambil calitan tekak) telah berjaya diedarkan ke hospital, pusat kesihatan daerah dan klinik kesihatan di negeri-negeri di semenanjung Malaysia.

Selain itu, semalam sebanyak 85 unit kotak intubasi, 72 unit perisai pensampelan serta peralatan PPE berjaya dibawa ke Sarawak dengan bantuan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Orang awam yang berminat untuk membantu dalam inisiatif ini boleh melayari Facebook ‘Old Putera Association’ untuk maklumat lanjut. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X