Jumaat, 3 April 2020 | 10:03pm

COVID-19: Elak perhimpunan ramai 6 bulan hingga setahun selepas PKP - KP Kesihatan

PUTRAJAYA: Perhimpunan ramai seperti bazar Ramadan perlu dielak walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ini kerana walaupun tempoh PKP sudah berakhir, norma dan amalan kehidupan rakyat Malaysia perlu berubah dan perhimpunan ramai tidak digalakkan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

“Walaupun selepas PKP dalam tempoh dua minggu lagi, tetapi amalan kita berubah, ia bukan norma lagi.

“Contohnya tidak bersalam, membasuh tangan dan ada penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, perhimpunan contohnya enam bulan hingga setahun kita akan lihat tak galakkan langsung perhimpunan ramai,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, perlu ada idea kreatif dan inovatif seperti makanan bazar Ramadan yang boleh dihantar ke rumah.

Beliau berkata, pelaksanaan E-Bazar Ramadan adalah idea yang baik kerana melihat kepada peningkatan 70 peratus perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah pada PKP fasa pertama lalu.

Katanya, Kementerian Kesiharan akan melihat bagaimana ia boleh dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan oleh kementerian itu.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi selagi PKP dilaksanakan.

Hingga hari ini, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang membuat keputusan untuk membatalkan bazar Ramadan di negeri berkenaan.

Negara menguatkuasakan PKP mulai 18 hingga 31 Mac lalu berikutan penularan COVID-19 dan kemudian dilanjutkan daripada 1 hingga 14 April ini. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X