Jumaat, 3 April 2020 | 8:04pm

Penduduk kurung diri, proses hantar bekalan kurang lancar

KUALA TERENGGANU: Kira-kira 500 penduduk dari 44 kampung di daerah Setiu, di sini, mengambil tindakan mengurungkan diri sepenuhnya sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak wabak COVID-19.

Langkah mengurungkan diri secara sukarela itu dibuat sejak 27 Mac lalu dan usaha mengagihkan barangan keperluan asas dilakukan bagi memastikan penduduk tidak terputus bekalan.

Petugas yang dipertanggungjawabkan mengagihkan barangan keperluan terpaksa mengetuk pintu rumah penduduk dan memperkenalkan diri, selain memanggil nama penduduk bagi memaklumkan bekalan barang keperluan harian mereka sudah tiba.

Suri rumah, Zurina Embong, 54, dari Kampung Padang Kemunting, berkata walaupun tiada arahan perintah mengurungkan diri dibuat kerajaan, tetapi penduduk secara sukarela mengambil langkah berjaga-jaga itu, sekali gus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, walaupun tiada larangan dikeluarkan pihak berkuasa untuk ketua keluarga keluar membeli barang keperluan, tetapi penduduk bersepakat mendisiplinkan diri dan berharap dapat memutuskan rantaian wabak COVID-19.

“Sepanjang tempoh PKP ini, bukan bermakna penduduk tidak boleh ke pasar membeli-belah dan keluar rumah, tetapi kami mengehadkan masa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, di sini.

Zurina berkata, penduduk kampung juga secara sukarela mengambil keputusan tidak membenarkan orang luar tidak dikenali memasuki kawasan rumah, walaupun untuk menghantar bekalan makanan asas.

“Kami tidak akan membuka pintu rumah jika terdengar suara tidak dikenali memanggil, melainkan sesama penduduk kampung sebagai langkah berjaga-jaga penularan wabak COVID-19,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman turut mengakui penduduk kampung lebih gemar mengurung diri dalam rumah sejak penularan wabak COVID-19 dan PKP dikuatkuasakan kerajaan.

“Keadaan itu menyebabkan petugas terpaksa beberapa kali mengetuk pintu dan memperkenalkan diri untuk mengagihkan bantuan barangan keperluan asas,” katanya.

Bazlan berkata, bagi melancarkan pengagihan bantuan barangan keperluan asas kepada lebih 8,000 keluarga yang mendiami 44 kampung di DUN Batu Rakit, pemimpin masyarakat dilantik menyelaraskan penyampaian bantuan.

“Kita menyerahkan tanggungjawab kepada pemimpin masyarakat termasuk ketua cawangan untuk mengagihkan bantuan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan gula.

“Sebanyak 8,000 kampit beras setiap satunya seberat lima kilogram, satu kilogram minyak masak, tepung gandum dan gula disediakan kepada setiap keluarga yang kebanyakannya terkesan berikutan penguatkuasaan PKP. Kita membelanjakan RM120,000 termasuk RM45,000 peruntukan dikhaskan kerajaan negeri kepada setiap ADUN,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik memuji langkah dan inisiatif penduduk beberapa kampung berkenaan yang sepatutnya dicontohi seluruh masyarakat di negeri ini.

“Inisiatif itu tidak menjadi kesalahan, sebaliknya pendekatan dilakukan penduduk itu bagi melancarkan peraturan dikuatkan kerajaan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Barang keperluan asas untuk diagihkan kepada penduduk yang terkesan berikutan PKP diumumkan kerajaan. - NSTP/Baharom Bakar
    Barang keperluan asas untuk diagihkan kepada penduduk yang terkesan berikutan PKP diumumkan kerajaan. - NSTP/Baharom Bakar
    Berita Harian X