X
Jumaat, 3 April 2020 | 10:57am
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. NSTP/Hairul Anuar Rahim
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. NSTP/Hairul Anuar Rahim

COVID-19: Sasar capai sifar jangkitan melalui PKP

KUALA LUMPUR: Kerajaan meletakkan sasaran untuk mencapai tahap sifar jangkitan COVID-19 menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua bermula kelmarin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia susulan trend jangkitan lebih terkawal pada fasa pertama PKP dilaksanakan, sekali gus menunjukkan langkah penguatkuasaan itu mampu menghalang lebih ramai orang awam daripada dijangkiti wabak berkenaan.

“PKP ialah satu kaedah untuk kita menghalang atau menghentikan penularan wabak ini. Dengan adanya perintah terbabit, kita dapat menghalang lebih ramai orang daripada dijangkiti.

“Apabila kita dapat menghalang penularan ini, maka kesannya akan dilihat, iaitu kurang orang dijangkiti tetapi ramai yang sembuh. Itu kaedah yang menjadi kejayaan menghalang COVID-19 daripada terus menular.

“Bagaimanapun, COVID-19 dalam komuniti masih tidak dapat dikesan. Oleh itu, kita meneruskan PKP untuk mencapai jumlah sifar seperti yang kita sasarkan,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.

PKP fasa kedua dari 1 hingga 14 April depan menjadi tempoh kritikal bagi rakyat Malaysia dalam menentukan sama ada usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 berjaya atau sebaliknya.

Walaupun tahap pematuhan rakyat terhadap PKP dilaporkan melebihi 90 peratus, masih ada individu ditahan kerana mengingkari arahan itu.

Mengulas persiapan untuk menghadapi kemungkinan gelombang ketiga COVID-19, Dr Adham berkata, kerajaan kini dalam proses menyiapkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Pusat kuarantin itu adalah satu daripada idea Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia sama dengan hospital kuarantin yang diwujudkan di luar negara seperti China dan Sepanyol.

“Pusat ini diwujud bagi mengurangkan tekanan di hospital yang diwartakan merawat COVID-19. Pusat kuarantin ini memudahkan kita untuk memberi perkhidmatan terbaik dan rapi seperti hospital khas merawat COVID-19,” katanya.

Dr Adham juga menjelaskan, kekurangan peralatan dan kelengkapan untuk petugas di barisan hadapan seperti peralatan pelindung diri (PPE), katil serta alat bantuan pernafasan, sudah diatasi.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X