Khamis, 2 April 2020 | 8:23pm
Kakitangan Kementerian Kewangan sedang melayan panggilan telefon daripada orang ramai berkenaan Pakej PRIHATIN - Foto BERNAMA
Kakitangan Kementerian Kewangan sedang melayan panggilan telefon daripada orang ramai berkenaan Pakej PRIHATIN - Foto BERNAMA

Jawatankuasa khas kabinet pastikan pakej rangsangan sampai ke sasaran

KUALA LUMPUR: Penubuhan jawatankuasa khas kabinet yang diumumkan hari ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan pakej rangsangan sampai kepada kumpulan sasaran tepat pada masanya, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) memerlukan penyelarasan yang teliti di kalangan pelbagai pihak berkepentingan seperti kerajaan negeri, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.

"Jawatankuasa kabinet khas akan menangani isu-isu itu. Komunikasi yang berkesan sangat kritikal supaya semua orang tahu apa yang perlu dilakukan," katanya kepada Bernama.

Turut bersetuju dengan pendapat Afzanizam ialah Ketua Pakar Strategi Pasaran global AxiCorp, Stephen Innes yang berkata penubuhan jawatankuasa itu mencerminkan tindak balas kerajaan untuk menangani isu-isu yang diketengahkan oleh rakyat dan komuniti perniagaan.

Beliau berkata, langkah-langkah itu diwujudkan untuk meyakinkan rakyat yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bahawa kerajaan menjaga kebajikan mereka.

"Kerajaan mahu menghapuskan kebimbangan bahawa mereka tidak akan mendapat gaji dan menjadi gelisah dan juga panik, dan saya fikir ini langkah besar untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kerajaan akan membantu mereka dalam krisis ekonomi ketika ini," katanya.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata jawatankuasa khas kabinet itu akan membangunkan langkah strategik untuk melindungi ekonomi dan pasaran buruh Malaysia yang terjejas oleh COVID-19 dengan matlamat untuk mengimbangkan antara keutamaan ekonomi negara dan penguatkuasaan yang berkesan PKP.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia dijadualkan mengadakan mesyuarat pertama esok diikuti dengan mesyuarat kedua pada Ahad.

Ia kemudian akan melaporkan cadangannya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pada Isnin.

Ditanya sama ada ekonomi Malaysia akan pulih dari pandemik, Mohd Afzanizam berkata, ekonomi akan menyaksikan pemulihan secara beransur-ansur dalam permintaan dalam negeri terutama dalam konteks langkah-langkah rangsangan fiskal yang sudah pun dilaksanakan.

"Bagaimanapun, sektor luaran mungkin tidak stabil terutama di negara maju kerana mereka masih bertungkus lumus untuk mencegah virus itu daripada merebak," katanya.

MITI akan melakukan libat urus dengan peserta industri dari pelbagai sektor untuk mengumpulkan pandangan dari orang ramai untuk memastikan jawatankuasa tersebut menangani isu-isu khusus yang dihadapi oleh komuniti perniagaan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pengeluar dan pelabur.

Mohd Afzanizam berkata, PKS boleh meneruskan operasi waktu perniagaan mereka seperti biasa apabila PKP berakhir.

"Dengan lebihan wang di tangan orang ramai, PKS boleh mencatatkan jualan yang memberangsangkan, meningkatkan kedudukan aliran tunai mereka," katanya.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X