Khamis, 2 April 2020 | 1:03pm
Empat unit ventilator disumbangkan kepada Hospital Selayang
Empat unit ventilator disumbangkan kepada Hospital Selayang

COVID-19: Ramsay Sime Darby Health Care sumbang 4 ventilator

KUALA LUMPUR: Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) menyumbang empat unit ventilator ke Hospital Selayang dalam usaha menyokong sektor kesihatan awam memberikan rawatan terbaik untuk pesakit COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Greg Brown, berkata pihaknya percaya sumbangan itu dapat membantu meredakan kebimbangan mengenai kekurangan ventilator di hospital-hospital awam.

Katanya, ia sekali gus membolehkan fasiliti-fasiliti ini untuk terus menyediakan penjagaan terbaik untuk pesakit COVID-19 di premis mereka.

“Selain itu, sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk bekerjasama dengan sektor kesihatan awam, semua kemudahan di bawah RSDH, iaitu Pusat Perubatan Subang Jaya, Pusat Perubatan Ara Damansara dan Pusat Perubatan ParkCity kini menyediakan Ujian Swab Hidung dan Kerongkong COVID-19 bagi mereka yang mempunyai gejala .

“Keputusannya akan diketahui dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam dan kami menerima kemasukan ‘walk-in’, perlu temu janji. Ujian ini berharga RM630 termasuk kos perundingan perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Brown berkata, usaha kerjasama awam-swasta yang kukuh membolehkan pengamal perubatan untuk meningkatkan ujian dan rawatan virus di hospital awam sekali gus membolehkan negara mengurangkan penyebaran COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X