Khamis, 2 April 2020 | 11:31am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

COVID-19: Sasar proses nyah cemar di 41 PPR di seluruh negara

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyasarkan untuk menjalankan proses nyah cemar di 41 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata proses berkenaan dilakukan menerusi tiga kaedah iaitu semburan di bahagian luar rumah, manakala semburan kabus atau mengelap pula di bahagian dalam kediaman.

Katanya, proses nyah cemar di dalam rumah akan menggunakan cecair disinfeksi berbeza berbanding ketika prosedur sama di kawasan awam kerana ia tidak mengandungi alkohol dan selamat untuk orang ramai.

"Setakat ini kita menerima permintaan sebanyak 25 peratus daripada 3,004 unit PPR Taman Putra Damai di sini, untuk menjalankan prosedur ini di dalam rumah mereka.

"Saya harap supaya peratusan ini akan meningkat dari semasa ke semasa kerana akses penduduk PPR kepada sanitizer adalah terhad," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

PPR Taman Putra Damai di sini, adalah projek rintis untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) akan digunakan bagi proses nyah cemar di projek perumahan sedemikian di seluruh negara.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, pihaknya menerima tawaran daripada sebuah syarikat korporat untuk menjalankan proses nyah cemar di 800,000 unit kediaman di seluruh negara.

"Bagaimanapun, kita akan tumpukan kepada projek perumahan lain, selain daripada PPR bagi memenuhi kuota 800,000 unit tajaan syarikat ini.

"Kita berharap akan ada lebih banyak syarikat swasta lain untuk tampil meghulurkan bantuan kepada rakyat dalam memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dakwaan berkaitan SOP nyah cemar dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan dianggap sudah selesai selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, semalam.

“Prosedur dilakukan PBT sepanjang operasi nyah cemar di kawasan awam sebelum ini, adalah mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan dan tidak lari sedikit pun daripada SOP berkenaan.

“Bagaimanapun, kita akan keluarkan SOP ini kepada umum bagi memastikan masyarakat faham dan berpuas hati dengan keseluruhan prosedur ini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X