Khamis, 2 April 2020 | 10:16am

COVID-19: Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan lindungi ekonomi, pekerja

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi membangunkan langkah strategik melindungi ekonomi Malaysia dan pasaran tenaga kerja yang terkesan oleh COVID-19.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, jawatankuasa bermatlamat membentuk keseimbangan antara keutamaan ekonomi negara dan keberkesanan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Anggota Jawatankuasa Khas juga akan terdiri daripada mereka yang terbabit dalam bidang ekonomi dan keselamatan negara.

MITI berkata, bidang utama lain Jawatankuasa Khas termasuk langkah-langkah untuk mengekalkan enjin ekonomi Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) semasa PKP selain memastikan keberkesanan usaha menangani tenaga kerja tempatan.

“Penubuhan Jawatankuasa ini turut mencerminkan tindakan pantas kerajaan untuk menangani isu-isu yang disuarakan rakyat dan komuniti perniagaan Malaysia,” katanya.

MITI berkata, ia akan mengadakan libat urus bersama peserta industri daripada pelbagai sektor untuk mendapatkan pandangan terperinci sektor ekonomi tertentu.

“Usaha ini penting untuk memastikan Jawatankuasa akan menangani isu khusus dihadapi komuniti perniagaan, terutama PKS, pengeluar dan pelabur,” katanya.

Jawatankuasa Khas dijadualkan bersidang esok dan mengadakan mesyuarat kedua Ahad ini.

Cadangan-cadangan kemudiannya akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada 6 April ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X