Selasa, 31 March 2020 | 7:09pm

COVID-19: Lelaki Indonesia warga asing pertama meninggal di Malaysia

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mencatatkan kematian pertama membabitkan warga asing, akibat COVID-19 selepas seorang lelaki warganegara Indonesia meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak, awal pagi tadi.

Lelaki berusia berusia 40 tahun itu antara enam lagi kematian membabitkan pesakit COVID-19 yang dilaporkan dan menjadikan jumlah kumulatif kematian di negara ini sebanyak 43 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mangsa yang juga kes kematian ke-41 (kes ke-1, 275) dirawat di Hospital Umum Sarawak sejak 20 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 1.38 pagi tadi.

Beliau berkata, kes kematian ke-38 (kes ke-2, 269) ialah seorang wanita warganegara Malaysia berusia 48 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau ialah kontak kepada kes ke-2, 750. Beliau sebelum ini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 25 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac, jam 4.04 petang.

“Bagi kes kematian ke-39 (kes ke-2, 626) adalah lelaki warganegara Malaysia berusia 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Arab Saudi dan meninggal dunia pada 27 Mac 2020 di rumah beliau sebelum jenazahnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes kematian ke-40 (kes ke-2, 627), mangsa seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor dan disahkan meninggal dunia pada 26 Macjam 1.03 tengah hari.

“Kes kematian ke-42 (kes ke-2,628) ialah lelaki warganegara Malaysia berusia 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 31 Macjam 7.09 pagi,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham, berkata sehingga hari ini terdapat 58 kes yang sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang menjadikan kes kumulatif sudah sembuh sebanyak 537 kes atau 19.4 peratus dari keseluruhan jumlah kes, setakat ini.

Beliau berkata, KKM juga mencatatkan pertambahan sebanyak 140 kes baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,766 kes.

“Sehingga kini, seramai 94 kes yang positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah berkenaan 60 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham mendedahkan seramai 36 kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah dan sembilan bayi bawah setahun dijangkiti wabak berkenaan.

“Kanak-kanak ini dalam keadaan stabil. Faktor dijangkiti berkemungkinan membabitkan kes indeks contohnya jemaah tabligh yang pulang ke rumah dan menjangkiti keluarga masing-masing.

“Mungkin juga dari faktor keluarga, seperti dalam kes gelombang pertama kanak-kanak dijangkiti ketika melancong,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X